ABDUL Razak menunjukkan sebahagian gaharu yang akan diproses.
ABDUL Razak menunjukkan sebahagian gaharu yang akan diproses.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Biobenua Teknoloji Sdn Bhd bersedia membantu lebih ramai pekebun kecil di negara ini menjana pendapatan dalam industri gaharu disokong dengan pengenalan program kerjasama Inokulasi Pokok Karas.

Pengasas dan Pengarahnya, Datuk Abdul Razak Ali berkata, menerusi program itu sebanyak 35,000 gaharu yang ditanam pekebun kecil sudah disuntik bagi menghasilkan pati minyak dan teras gaharu.

Katanya, tahun depan pihaknya menyasarkan kira-kira 15,000 pokok dari pekebun kecil akan terbabit dalam program ini.

"Sebanyak 35,000 pokok yang sudah disuntik itu membabitkan kira-kira 120 pekebun kecil dan sepatutnya tahun lalu kita sudah dapat tuai hasil tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pengeluaran hasil tertunda.

"Disebabkan PKP juga jualan produk gaharu ini menurun kira-kira 90 peratus kerana kita tahu produk ini memang untuk dieksport.

"Sehingga sekarang, stok pati minyak gaharu yang sudah dihasilkan ada lebih kurang 20 liter, teras gaharu pelbagai gred (lebih 250 kilogram) dan produk hiliran seperti setanggi atau sabun minyak wangi masih belum terjual.

"Oleh itu, saya berharap selepas PKP ini kami dapat menjual semua hasil produk yang dihasilkan dengan kerjasama pekebun kecil dan mereka boleh menjana keuntungan lumayan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, syarikat juga komited untuk menjadi pusat sehenti produk gaharu dan sedang membina galeri gaharu untuk tarikan pelancong ke kilang utamanya di Kuala Linggi, Melaka.

Abdul Razak berkata, pihaknya juga merancang untuk memasang 60 dapur lagi di kilang terbabit berbanding 33 dapur sedia ada sebagai persediaan menampung hasil tuaian dari pekebun kecil.

"Menerusi program ini, syarikat menggunakan konsep situasi menang-menang yang mana pekebun kecil keluarkan kos tanam pokok gaharu dan kos suntikan dibahagi dua dengan syarikat manakala proses penghasilan ditanggung oleh syarikat dan kita akan mencari pembeli juga.

"Selain itu, kami berharap agar kerajaan dapat membantu industri gaharu dengan permudahkan permit untuk menebang dan menjual pokok gaharu kerana sekarang syarat dan prosedurnya agak rumit seperti prosedur untuk kayu balak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:43 AM