SEORANG lelaki melintas di depan grafiti yang mengucapkan tahniah kepada Suu Kyi di Mandalay.
SEORANG lelaki melintas di depan grafiti yang mengucapkan tahniah kepada Suu Kyi di Mandalay.
AP

Yangon: Peralihan Myanmar ke arah pemerintahan demokrasi penuh selepas berdekad diperintah tentera nampak semakin hampir apabila parti pimpinan ketua pembangkang, Aung San Suu Kyi terus menunjukkan kemenangan dengan kerajaan berjanji
peralihan kuasa secara aman walaupun keputusan rasmi masih belum diumumkan.

Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Suu Kyi berkata, ia menerima mesej daripada Menteri Penerangan Ye Htut bagi pihak Presiden Thein Sein yang mengucapkan tahniah atas kemenangan dikecapi di Parlimen setakat ini dalam pilihan raya yang diadakan Ahad lalu.

Ye Htut berkata, kerajaan memastikan peralihan kuasa secara baik ‘bertepatan dengan garis masa ditetapkan perlembagaan’.

Mesej itu secara tidak langsung meredakan kebimbangan rakyat bahawa pihak tentera - yang berpengaruh kuat terhadap parti pemerintah - akan menghalang kemenangan NLD seperti dilakukan selepas pilihan raya pada 1990.

Seterusnya ini bermaksud Myanmar akan diperintah kerajaan yang pertama sejak berdekad lalu yang tidak dipengaruhi tentera. Bagaimanapun, Suu Kyi masih tidak boleh dilantik presiden disebabkan peruntukan dalam perlembagaan yang melarangnya berikutan anaknya warga Britain.

Namun, Suu Kyi tidak patah semangat, sebaliknya mengumumkan dia sanggup menjadi pemimpin de facto jika partinya membentuk kerajaan baru kelak.

Dalam temu ramah dengan rangkaian televisyen Channel NewsAsia, Suu Kyi berkata: “Saya akan membuat semua keputusan kerana saya ketua parti yang menang. Presiden akan dipilih untuk memenuhi kehendak Perlembagaan, namun dia perlu memahami dia tidak akan mempunyai kuasa mutlak, sebaliknya mesti bertindak mengikut kehendak parti.”

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan 151 kerusi dewan rakyat dengan 135 dimenangi NLD termasuk kemenangan Suu Kyi di kawasannya, Kawhmu.

Sementara itu, NLD juga memenangai 29 daripada 33 kerusi dewan negara.

Jika NLD berjaya memperoleh kemenangan dua pertiga ia akan menguasai semua jawatan eksekutif di dalam sistem parlimen Myanmar.

Tentera dan parti-parti terbesar di kedua-dua dewan akan mencadangkan calon untuk jawatan presiden. Selepas 31 Januari depan, semua 664 ahli Parlimen akan mengundi dengan pemenangnya menjadi presiden manakala dua yang lain sebagai naib presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 10:40 AM