TEMA Sienna Sunday menampilkan dekorasi ubah rupa dalaman rumah yang lebih tenang, selesa dan mendamaikan.
TEMA Sienna Sunday menampilkan dekorasi ubah rupa dalaman rumah yang lebih tenang, selesa dan mendamaikan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

SIENNA Sunday, 50 shades of Chris dan Leonardo in Love, tiga tema dekorasi dalaman menarik yang menjadi pertaruhan The Makeover Guys sempena kolaborasi sulungnya bersama jenama hiasan rumah moden, HOOGA.

Menerusi tema Sienna Sunday misalnya, dekorasi ubah rupa dalaman rumah yang lebih tenang, selesa dan mendamaikan ditampilkan.

Ia bagi membolehkan pemiliknya dapat menghabiskan masa melakukan hobi mereka sama ada membaca, memasak mahupun menghasilkan kraf tangan.

Pada masa sana menampilkan warna neutral yang lembut, tona semula jadi, rotan dan reka bentuk dalaman ala Skandinavia.

Penggunaan warna-warna neutral lembut di keseluruhan ruang memberikan rasa tenang tanpa gangguan rona terang.

Padanan tekstur fabrik berlainan bersama material rotan dan kayu pula memberikan sesuatu ruang itu sentuhan kontra serta berbeza.

Untuk menghasilkan dekorasi dan reka bentuk dalaman yang lebih sofistikated, tema 50 shades of Chris sememangnya menarik dijadikan pilihan.

Hiasan itu menggunakan warna-warna gelap semula jadi, tona rustik serta dinding berwarna gelap yang memberikan aura kuasa dan keseronokan.

TEMA dekorasi 50 Shades of Chris menggunakan warna-warna gelap semula jadi, tona rustik serta dinding berwarna gelap.
TEMA dekorasi 50 Shades of Chris menggunakan warna-warna gelap semula jadi, tona rustik serta dinding berwarna gelap.

Penggunaan elemen semula jadi seperti rotan dan material kukuh seperti logam membantu mencipta keseimbangan yang tepat untuk tema berkenaan.

Dekorasi seperti itu sesuai untuk pasangan muda ataupun golongan bujang bekerjaya dan bercita-cita tinggi.

Apatah lagi tema Leonardo in Love pula menggabungkan pelbagai elemen daripada alam bebas.

Elemen itu sememangnya dirindui sepanjang tempoh pandemik apabila berhadapan dengan realiti dinding yang mengekang pergerakan.

Seperti slogannya, 'tempat persembunyian seniman di tengah bandar,' The Makeover Guys menjadikan tema itu sebagai sebuah ruangan yang tidak hanya menggalakkan pertumbuhan dan kreativiti, tetapi juga sebuah 'utopia' yang boleh dialami tanpa perlu keluar rumah.

Tema itu menampilkan warna-warna pastel yang bergaya, geometri dan bentuk, elemen keemasan serta hiasan yang berfungsi sebagai titik tumpu.

LEONARDO in Love pula tema dekorasi dan ubah rupa yang menggabungkan pelbagai elemen daripada alam bebas.
LEONARDO in Love pula tema dekorasi dan ubah rupa yang menggabungkan pelbagai elemen daripada alam bebas.

Kerjasama itu turut dirai dengan pelancaran rasmi kedai 'pop-up' HOOGA x The Makeover Guys (HxTMG) di pusat beli-belah Mid Valley di ibu negara, baru-baru ini.

Ia diwujudkan bagi memberi penyelesaian kepada pelanggan yang ingin memberi nafas baharu kepada hiasan dalaman rumah.

Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat nasihat untuk penggayaan rumah, pengubahsuaian serta pengoptimuman ruang.

Tiga tema ubah suai terbaharu eksklusif untuk masa terhad itu turut tersedia bagi orang ramai yang berkunjung ke kedai berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gavin Liew, pihaknya teruja dengan kerjasama itu memandangkan matlamat mereka sejak sekian lama adalah untuk menyediakan perkhidmatan ubah rupa rumah yang mampu milik kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Apabila bercakap mengenai ubah suai dan ubah rupa, kami sedar bahawa masyarakat mengambil berat akan kos, gaya dan kualiti.

"Kerjasama ini akan membolehkan orang ramai tahu mengenai khidmat kami yang menawarkan keseimbangan antara ketiga-tiga kriteria itu dalam usaha mencipta rumah yang cantik," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran HOOGA, JP Lee pula berkata, pelanggan sering meminta tip dan nasihat dalam penggayaan serta reka bentuk rumah mereka.

"Melalui kerjasama ini, pelanggan berpeluang mendapat nasihat daripada pakar industri yang sebenar," katanya.

WARNA pastel bergaya, geometri dan bentuk, elemen keemasan serta hiasan yang berfungsi sebagai titik tumpu.
WARNA pastel bergaya, geometri dan bentuk, elemen keemasan serta hiasan yang berfungsi sebagai titik tumpu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 6:30 AM