“Saya boleh katakan kalau kami turunkan 100 iklan haram hari ini, 200 lagi iklan baharu muncul."  - Datuk Bandar Kuala Lumpur. - Foto NSTP (Fail)
“Saya boleh katakan kalau kami turunkan 100 iklan haram hari ini, 200 lagi iklan baharu muncul." - Datuk Bandar Kuala Lumpur. - Foto NSTP (Fail)
Antara Januari lalu hingga hari ini, DBKL sudah menurunkan 901,878 iklan haram di ibu kota. - Foto NSTP (Fail)
Antara Januari lalu hingga hari ini, DBKL sudah menurunkan 901,878 iklan haram di ibu kota. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Selepas pelbagai usaha menangani iklan haram menemui jalan buntu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang mengenakan hukuman lebih berat, termasuk sebatan kepada pelakunya.

Datuk Bandar Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, DBKL bercadang meminda undang-undang kecilnya kerana percaya hukuman sebat mampu menakutkan pesalah.

Mhd Amin turut mencadangkan sebatan hanya dikenakan kepada mereka yang ditahan ketika memasang iklan haram itu.

"Pelbagai inisiatif kami (DBKL) laksanakan tapi masih banyak iklan haram ditampal, saya boleh katakan kalau kami dah turunkan 100 iklan haram, 200 lagi iklan baharu muncul,"

"Kami perlu mengambil tindakan agresif menangani masalah ini dan sebatan adalah cara terbaik," katanya di sini, hari ini.

Selain sebatan, Mhd Amin Nordin juga berkata, DBKL bercadang menaikkan jumlah denda terhadap pemilik syarikat iklan haram itu dan pelaku yang memasang iklan berkenaan daripada RM2,000 kepada RM50,000.

Menurutnya, antara Januari hingga hari ini, DBKL menurunkan 901,878 iklan haram di ibu kota dan mengeluarkan 190 kompaun kepada pelaku manakala 166 syarikat masih dalam proses tindakan undang-undang.

Menurutnya DBKL melaksanakan pelbagai inisiatif menangani masalah ini termasuk menyapu cat anti-pelekat pada tiang lampu, mewujudkan pasukan petugas khas membersihkan iklan haram di ibu kota serta menahan pelakunya.

DBKL turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membatalkan nombor telefon yang tertera pada iklan haram.

Datuk Bandar itu turut menjelaskan DBKL sedang berunding dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan terhadap syarikat percetakan yang mencetak iklan haram atau menawarkan perkhidmatan memasang iklan berkenaan dengan membatalkan lesen serta merampas mesin mereka.

Menampal dan memasang iklan haram adalah kesalahan mengikut Undang-undang Kecil (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Undang-undang Kecil Vandalisme (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1991. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 8:20 PM