Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Kira-kira 500 poster dan papan iklan haram termasuk ditampal sindiket peminjam wang haram atau 'along' diturunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cawangan Wangsa Maju dalam operasi dijalankan setiap hari.

Pengurus cawangannya, Ahmad Ibnu Sina Termizi berkata, jumlah denda minimum dan tiada hukuman penjara menyebabkan kegiatan itu masih lagi berleluasa.

"Menampal dan memasang iklan haram kesalahan mengikut Undang-undang Kecil (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Undang-undang Kecil Vandalisme (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1991.

"Mengikut undang-undang ini, pelaku hanya perlu membayar denda maksimum RM2,000 saja," katanya.

Menurutnya, pihak DBKL sudah menyediakan papan buletin untuk pemasangan iklan secara percuma di beberapa kawasan namun ia tidak menjadi pilihan segelintir pengusaha.

OPERASI penurunan iklan haram di sekitar kawasan Wangsa Maju oleh DBKL cawangan Wangsa Maju. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
OPERASI penurunan iklan haram di sekitar kawasan Wangsa Maju oleh DBKL cawangan Wangsa Maju. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

"Kemungkinan kawasan tidak strategik menjadi punca pengusaha atau ahli perniagaan tidak memasang iklan di situ walaupun ia tidak berbayar.

"Dalam satu hari pihak kami akan adakan tiga sesi menurunkan iklan haram di kawasan Wangsa Maju dan kira-kira 400 hingga 500 iklan dapat dikumpulkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas operasi penurunan iklan haram di kawasan Wangsa Maju, hari ini.

Ahmad Ibnu Sina berkata, semua poster, pelekat dan papan iklan haram akan dibawa ke pusat kitar semula untuk tujuan pelupusan.

"Skim pinjaman wang, jual atau sewa rumah dan kerja kosong antara yang paling banyak diiklankan secara haram yang kebiasaannya dipamerkan di pokok, tiang lampu dan dinding.

"Untuk hari ini saja, setakat dua jam operasi yang bermula dari 10 pagi hingga 12 tengah hari, DBKL telah berjaya menurunkan 150 hingga 200 iklan haram di beberapa kawasan Wangsa Maju," katanya.

Menurutnya, DBKL turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membatalkan nombor telefon tertera pada iklan haram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 2:33 PM