NG
NG

Kuala Lumpur: Jualan murah dalam talian terbesar di Malaysia, #MyCyberSale yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) mencatatkan jualan kasar mencecah RM117.7 juta, meningkat 75 peratus berbanding tahun lalu.

Ia menyaksikan RM61 juta diraih daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Operasi MDeC, Datuk Ng Wan Peng dalam kenyataan berkata, pada tahun ini seramai 393 usahawan menyertai jualan ini iaitu 40 peratus lebih ramai berbanding tahun lalu.

“Tahun ini menyaksikan prestasi yang lebih baik bukan saja daripada jumlah jualan, malah turut menerima penyertaan yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Ia secara tidak langsung memberi harapan kepada usaha kami dalam membangunkan industri e-dagang di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, produk daripada pelbagai kategori menyumbang 42 peratus kepada jualan diikuti dengan pelancongan (28 peratus), fesyen (18 peratus) dan elektronik (12 peratus).

Malah, buat pertama kalinya, 5,300 tempahan diterima daripada pembeli luar di Singapura, Brunei dan Indonesia dengan jumlah jualan kira-kira RM1.93 juta.

Jualan #MyCyberSale 2015 berlangsung dari 28 September hingga 2 Oktober lalu di seluruh negara. Pada tahun ini, tempoh dilanjutkan sehingga lima hari bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk membuat pembelian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 6:29 AM