GANESH Kumar
GANESH Kumar
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menyasarkan festival jualan atas talian tahunan, #MYCYBERSALE 2018 mampu mencapai nilai dagangan kasar (GMV) berjumlah RM370 juta berdasarkan kejayaan penganjuran tahun lalu.

Festival yang akan berlangsung pada 3 hingga 7 September depan itu juga diunjurkan mampu menjana perolehan eksport bernilai RM50 juta sepanjang lima hari ia dijalankan.

Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah berkata, pihaknya juga menjangkakan penyertaan lebih 1,200 pedagang dengan sekurang-kurangnya 50 peratus daripadanya adalah pengeksport.

Beliau berkata, festival berkenaan terbukti adalah platform yang tepat bagi pedagang ataupun usahawan di Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem e-dagang dan menyumbang kepada perolehan domestik dan eksport sektor itu.

“Objektif utama acara itu adalah untuk menggalakkan lebih ramai usahawan mikro untuk melaksanakan perniagaan melalui saluran omni tanpa terlalu bergantung kepada media sosial dan mesej peribadi.

“Selain itu, melangkah ke depan, industri e-dagang Malaysia dijangka akan berkembang sebanyak 12.1 peratus dari RM74.6 bilion pada 2016 kepada unjuran sebanyak 83.6 bilion pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng berkata, #MYCYBERSALE adalah platform bersepadu yang tepat kepada golongan usahawan untuk memulakan empayar perniagaan dan asas pelanggannya di Malaysia dan pasaran luar.

Katanya, penting kepada MDEC untuk membantu syarikat tempatan untuk berkembang dari saiz kecil sehingga menjadi gergasi yang melaksanakan sistem e-dagang dalam operasinya.

“Ia adalah perkara yang mengujakan apabila melihat banyak usahawan kini sudah mula menerima platform digital bagi manfaat dan kelangsungan perniagaan pada masa depan,” katanya.

#MYCYBERSALE menjadi platform bagi festival jualan atas talian yang semakin kukuh di bawah kepemimpinan MDEC yang mana ia berjaya merekodkan GMV berjumlah RM67 juta pada 2014, RM117.7 juta (2015), RM211 juta (2016) dan RM311 juta (2017).

Pedagang atau usahawan yang mahu menjadi sebahagian dari festival jualan atas talian terbesar ini boleh mendaftar secara percuma di www.mycybersale.my sebelum 31 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:05 PM