GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

PERSATUAN ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom) akan menganjurkan jualan dalam talian tahunan terbesar #MyCyberSale 2017 dengan sasaran nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak RM300 juta.

Timbalan Pengerusi, Ganesh Kumar Bangah berkata, didorong oleh prestasi tiga acara #MyCyberSale​ ​​​​​​sebelum ini, persatuan itu yakin jualan tahun ini dapat meneruskan momentum tersebut supaya ia mempunyai kemampanan kendiri.

“Kami juga mensasarkan perolehan eksport RM20 juta memandangkan jualan kali ini akan disokong oleh 1,000 peniaga.

“Persatuan turut yakin akan dapat meneruskan momentum yang dicapai sejak #MyCyberSale diperkenalkan pada 2014,” katanya.

#MyCyberSale adalah usaha peringkat kebangsaan oleh Malaysian Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dengan sokongan Pikom dan peserta industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di seluruh negara.

Ganesh, yang juga Pengerusi E-Commerce Malaysia di bawah Pikom berkata, acara kali ini merupakan​​​​​​​#MyCyberSale pertama yang dianjurkan oleh Pikom di bawah skop MDEC, selain mempunyai rancangan untuk mengadakannya lebih daripada sekali setahun pada 2019.

Beliau berkata, trend pembelian dalam talian oleh pengguna telah meningkat sejak beberapa tahun dan justeru itu, pihaknya kini menumpu untuk mengadakan lebih banyak jualan siber dalam talian. “Berdasarkan penelitian kepada maklum balas orang ramai sejak dua tahun lepas, kami berharap dapat menetapkan tarikh yang sama untuk acara tahunan tersebut mulai tahun depan. “Ketika ini, kami tidak mempunyai tarikh yang tetap untuk jualan dalam talian berkenaan dan kami berharap dapat mengadakan lebih banyak jualan seperti ini pada masa depan,” katanya.

Bagi #MyCyberSale tahun lalu, lebih RM211 juta GMV dicatatkan daripada sejumlah 700 peniaga yang menyertainya.

#MyCyberSale 2017 akan bermula tengah malam pada 9 Oktober sehingga 11.59 malam 31 Oktober 2017 dan ia dijangka menarik 360 pengeksport dari 10 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 8:01 PM