DARI kiri Lau Yok Ung, Leong Keng Hoong, Prasad Prasanna Kumar, Agnes Peter (Pengarah RC Deaf Missions Malaysia) Jyothi K Kumar, Zulaiha Zulkapli dan Timmaraju Sri Archana  selepas pelancaran pameran berkenaan minggu lalu.
DARI kiri Lau Yok Ung, Leong Keng Hoong, Prasad Prasanna Kumar, Agnes Peter (Pengarah RC Deaf Missions Malaysia) Jyothi K Kumar, Zulaiha Zulkapli dan Timmaraju Sri Archana selepas pelancaran pameran berkenaan minggu lalu.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Pertama kali menjejakkan kaki ke ruang pameran di ruang legar Concourse 2 Wangsa Walk Mall, penulis terkesima melihat hasil seni yang tergantung kerana setiap satu mengetengahkan karya kreatif dan tersendiri.

Lebih menarik, semua 85 lukisan yang dipamerkan hasil kreativiti enam pelukis orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan bisu campuran artis tempatan serta dari India.

Barisan artis yang terbabit dalam pameran diberi nama Deaf Art Expose 2016 itu adalah tiga artis Malaysia, Leong Keng Hoong, Lau Yok Ung dan Zulaiha Zulkapli manakala selebihnya dari India iaitu Timmaraju Sri Archana, Jyothi K Kumar serta Prasad Prasanna Kumar.

Lulusan pengajian seni dari Dasein Academy of Art Keng Hoong, 24, berkata, bakat seninya mula disedari sejak di tadika lagi sebelum dikembangkan menyebabkan dia menjadi lebih berkeyakinan.

“Apabila mula memberi tumpuan penuh kepada bakat melukis, saya terus menghasil karya terbaik dalam bidang seni sehingga berjaya meraih anugerah pelajar terbaik.

“Walaupun pekak bisu dan sukar berkomunikasi dengan orang lain, kejayaan dan kelebihan di bidang seni menjadikan saya insan berkeyakinan tinggi dan tidak menjadikan status OKU sebagai penghalang untuk saya terus maju,” katanya.

Menampilkan beberapa lukisan realisme terdiri dari pelbagai medium, karya dihasilkan Keng Hoong bukan saja kreatif, malah dia bijak memilih warna mengikut suasana dan pandai meneroka dan bereksperimen dengan pelbagai jenis medium.

Antara medium diketengahkan ialah cat minyak, akrilik, warna air, pensel serta warna digital di atas kanvas dan kertas.

Bagi Sri Archanna, 31, yang berasal dari Bangalore, India, pekak dan bisu tidak penghalangnya merantau ke negara orang untuk mempamerkan karyanya supaya lebih dikenali.

“Berpeluang keluar negara dan melihat dunia baru satu keseronokan bagi saya kerana ia mengisi ‘kesunyian’ diri. Melihat kemeriahan itu membuat­kan saya terhibur selain dapat mengetengahkan karya kepada orang luar,” katanya.

Walaupun pekak dan bisu, Sri Archanna lebih selesa berbicara dengan mulut dan bukannya bahasa tangan kerana dia mampu membaca pergerakan mulut kerana pernah ke sekolah.

Mengetengahkan lukisan yang memfokuskan tema hidupan laut, Sri Archanna berkata dia ingin menimbulkan kesedaran orang ramai terhadap pencemaran laut.

“Laut sangat penting bagi kita dan menjaga kebersihannya sangat penting kerana ia sumber makanan bagi manusia,” katanya.

Pameran Deaf Art Expose 2016 anjuran tahun RD Deaf Missions Malaysia bagi memperkenalkan golongan artis istimewa terbuka dan ia terbuka kepada orang ramai. Masuk percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 1:52 PM