ZULAIHA bersama lukisan yang dipamerkan di The Gifted Art Show.
ZULAIHA bersama lukisan yang dipamerkan di The Gifted Art Show.
Muhamaad Razis Ismail


MENGUNJUNGI pameran ‘The Gifted Art Show’ di White Box, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini, didapati banyak lukisan menarik yang dihasilkan orang kurang upaya (OKU).

Antara karya yang menarik perhatian adalah lukisan bertajuk Senja Satu Persinggahan itu menunjukkan seorang wanita duduk di atas batu sambil tangannya menceduk air sungai.

Sekali pandang, lukisan itu seperti ‘hidup’ bagaikan foto dirakam kamera selain kena dengan suasana senja seperti yang mahu digambarkan pelukis.

Kali pertama kunjungan, pelukisnya, Zulaiha Zulkapli tiada di situ dan penulis hanya dapat bertemunya beberapa hari selepas itu.

LUKISAN Senja Satu Persinggahan yang dihasilkan Zulaiha.
LUKISAN Senja Satu Persinggahan yang dihasilkan Zulaiha.

Ketika bertemu, penulis tidak menyangka pelukisnya mengalami masalah pendengaran sejak kecil.

Individu yang turut menemaninya juga wanita yang berada di dalam lukisan itu iaitu adiknya, Zuhaida.

Difahamkan tiga daripada lima lukisan yang dipamerkan sudah dibeli dengan harga mencecah puluhan ribu ringgit setiap satu dengan satu daripada karya berkenaan bakal diterbangkan ke Perancis.

ZUHAIDA (kiri) menjadi model dalam lukisan Senja Satu Persinggahan.
ZUHAIDA (kiri) menjadi model dalam lukisan Senja Satu Persinggahan.

Zulaiha berkata, dia mula meminati seni lukisan sejak kecil. Bagaimanapun, ketika berusia lima tahun dia mengalami masalah pendengaran selepas diserang demam panas.

“Selepas kehilangan deria pendengaran, bunyi deruan angin, aliran air dan kicauan burung lenyap sama sekali dan yang tinggal hanya suasana sunyi sepi.

“Namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya sehingga menjadi kerjaya tetap untuk menyara keluarga sehingga kini,” katanya yang menggunakan bahasa isyarat dan terjemahan dibantu adiknya, baru-baru ini.

Anak keempat daripada lapan beradik ini bukan calang-calang pelukis apabila pernah mewakili Malaysia ke Abylimpic International di Bordeaux di Perancis dan Pameran lukisan The World Deaf Artists Exchange Exhibition di Korea.

Bukan itu sahaja, dia juga kini memegang jawatan sebagai Presiden Pelukis Pekak Malaysia dan pernah Pengurus Projek KL World International Deaf Artists Exchange Exhibition 2018 di Balai Seni Menara Maybank Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia bersyukur, ibu bapanya sentiasa memberi memberi galakan dan menyokong minatnya dalam seni lukis.

“Adik-beradik lain juga minat melukis dan kadangkala, lukisan yang disiapkan akan ditampal pada dinding di rumah.

“Galakan daripada ibu bapa ini banyak mendorong saya untuk terus melukis,“ katanya.

Zulaiha berkata, dia banyak menghasilkan lukisan pemandangan selepas mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggannya.

ANTARA lukisan yang dihasilkan Zulaiha.
ANTARA lukisan yang dihasilkan Zulaiha.

“Sekiranya saya melihat pemandangan menarik, saya akan berhenti dan mengambil gambar menggunakan kamera.

“Kemudian, melalui gambar itu, saya akan lukiskan selain membuat hanya sedikit penambahbaikan untuk mencantikkan lagi karya itu.

“Biasanya, saya mengambil masa tiga sehingga empat bulan bergantung tahap kesukaran lukisan yang perlu dihasilkan kerana saya pentingkan kualiti bukan kuantiti,“ katanya.

Tambahnya, setiap lukisan yang dihasilkan mempunyai ceritanya sendiri selain sarat dengan maksud tersurat dan tersirat.

“Lukisan bertajuk Teratak Kasih umpamanya menunjukkan kain pelekat dan kain batik yang disidai di ampaian adalah milik ibu bapa saya dahulu.

“Lukisan ini memiliki nilai sentimental yang mungkin turut diselami orang lain sehingga ada yang sanggup membeli dengan harga tinggi,” katanya.

Menceritakan mengenai lukisan Senja Satu Persinggahan, Zulaiha mengakui ramai individu yang mengakui ia bagaikan ‚hidup‘ seolah-olah sungai itu mengalir.

“Malah, seorang pemandu lori yang membawa lukisan ini untuk ke sebuah pameran di Melaka, mendakwa terdengar seperti bunyi wanita menangis di belakang lori. Saya tidak pasti kesahihannya.

“Pada saya ini adalah ‘karya agung’ yang pernah saya hasilkan sepanjang terbabit dalam bidang ini,“ katanya.

Jadi tidak hairan mengapa harga karya kebanyakannya mencecah lima angka kerana ia terlalu berharga kepada pelukis.

Zulaiha berkata, dia mahu lebih ramai OKU diberi lebih banyak ruang dan peluang untuk berkarya.

“Kami sebenarnya yakin dengan bakat yang ada setanding dengan insan normal lain.

“Apa yang kami mahukan lebih banyak platform untuk terus berkarya. Pihak berkaitan perlu tampil untuk bersama-sama membantu merealisasikan impian ini menjadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 7:00 AM