Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Dani Pedrosa yang muncul pemenang kelas MotoGP Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia semalam berpendapat tindakan kurang bijak Valentino Rossi ke atas Marc Marquez hanya akan menjejaskan imej juara dunia sembilan kali itu terutamanya ke atas barisan pelumba muda.

Jelas pelumba Repsol Honda itu, Rossi adalah nama besar dalam dunia permotoran dan dia sepatutnya tidak bertindak sedemikian.

“Rossi adalah pelumba paling hebat dalam abad ini. Dia mempunyai ramai penyokong di seluruh dunia dan barisan pelumba muda juga meminatinya.

“Agak kurang senang melihat tindakannya ke atas Marquez kerana apa yang dilakukannya pasti dilihat oleh generasi muda.

“Setiap orang tidak boleh lari daripada melakukan kesalahan dan sebab itu dia sepatutnya ada pada sidang media ini untuk menjelaskan apa yang berlaku,” katanya merujuk kepada tindakan Rossi yang tidak hadir pada sidang media semalam.

Pedrosa berkata, dia juga kecewa dengan tindakan Rossi yang menyebabkan Marquez terjatuh pada pusingan keenam.

“Pada satu ketika, saya nampak kaki Rossi menolak Marquez dan menyebabkannya jatuh.

“Saya tak faham dengan tindakannya itu. Ia bukanlah satu tindakan yang baik dan saya sangat kecewa dengannya,” katanya.

Pedrosa menjuarai perlumbaan di Sepang kali ketiga apabila menamatkan 20 pusingan dengan masa 40 minit 37.691 saat diikuti rakan senegaranya dari Sepanyol, Jorge Lorenzo di tangga kedua dengan masa 40:41.303 manakala Rossi di tangga ketiga dengan masa 40:51.415s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 5:04 AM