Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Ketika Valentino Rossi serta Jorge Lorenzo berdepan tekanan untuk perebutan kejuaraan dunia, dua pelumba Repsol Honda tampil mencuri tumpuan apabila mendominasi sesi kelayakan MotoGP semalam.

Dani Pedrosa (gambar) mencatat masa terpantas 1 minit 59.053 saat untuk bermula di petak pertama hari ini sementara rakan sepasukannya yang juga juara dunia Marc Marquez kedua apabila ketinggalan 0.409s di belakang Pedrosa.

“Walaupun mencatat masa terpantas hari ini (semalam), kami perlu bekerja lebih keras untuk pelarasan tayar dan jentera.

“Saya perlu terus fokus untuk perlumbaan sebenar esok (hari ini) dan berharap pasukan melakukan tugas dengan baik,” katanya.

Rossi yang dilihat bergelut pada sesi latihan bebas kelmarin, mempamer tunggangan meyakinkan apabila mencatat masa ketiga terpantas 1’59.726s yang dilakukan pada pusingan terakhir sebelum berakhirnya sesi kelayakan.

“Ia hanya sesi kelayakan dan tugas saya belum selesai. Apapun berada di barisan paling depan adalah satu keputusan yang bagus untuk saya.

“Yang pasti, perlumbaan esok (hari ini) pasti sangat sukar kerana apa saja boleh berlaku,” katanya.

Manakala rakan sepasukan Rossi dari pasukan Movistar Yamaha yang juga satu-satunya pencabar juara sembilan kali itu untuk kejuaraan dunia, Jorge Lorenzo menyambar petak keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:12 AM