SETIAP rekaan memiliki keunikan tersendiri.
SETIAP rekaan memiliki keunikan tersendiri.
Hajahfarhana Tarmudi


Tarikan dan keistimewaan koleksi tudung atau selendang terletak pada penggunaan fabrik dan elemen perinciannya selain rekaan serta potongan yang ditawarkan.

Ada kalanya, tudung atau selendang yang direka ringkas dan sederhana tampak menyerlah serta mewah dengan tambahan elemen perincian yang memukau.

Begitulah juga yang ada pada koleksi tudung dan selendang premium Luxe yang sememangnya memiliki ciri tersendiri.

Namun, perkara paling penting adalah koleksi yang ditawarkan mengetengahkan ciri eksklusif, sesuai untuk wanita yang inginkan kelainan pada gaya harian atau ketika menghadiri majlis istimewa.

Pengurus Besar Ariani Luxe Zool Hilmi Yusof berkata, kebanyakan rekaan selendang dan tudung premium yang ditampilkan memberi fokus terhadap elemen perincian sekali gus menjadikan setiap helaian tampak eksklusif.

“Tambahan elemen perincian seperti penggunaan batu Swarovski disiapkan sepenuhnya menggunakan tangan bukan mesin. Malah, ada sesetengah rekaan terutamanya edisi terhad dikeluarkan satu warna saja bagi mengekalkan ciri eksklusifnya.

“Selain itu, terdapat juga rekaan yang hanya ditampilkan dengan maksimum lima warna pilihan dan rona yang diketengahkan pula mengikut trend semasa,” katanya.

Jelasnya, ciri mewahnya bukan hanya terletak pada tambahan elemen perincian, malah ia turut ditonjolkan menerusi penggunaan material import. Antara fabrik terpilih yang digunakan pada pembuatan tudung dan selendang ialah sutera asli, renda Perancis, renda Solstiss dan sifon berat yang lebih tebal.

Motif rekaan diilhamkan oleh corak abstrak, sejarah, seni binaan dan geometri manakala tampalan batuan pula ada yang menampilkan rekaan rama-rama serta flora seperti yang ditambah pada selendang atau selendang segera.

Selain koleksi sedia dipakai, terdapat juga rekaan tudung atau selendang yang boleh ditempah mengikut cita rasa pelanggan kerana jenama berkenaan memiliki pereka tersendiri.

Sejak dilancarkan secara rasmi awal tahun ini kerana permintaan pelanggan, jenama berkenaan sudahpun mengeluarkan beberapa koleksi rekaan selendang, selendang segera, tudung empat segi sama, khimar dan tudung bersengkuap.

Setiap satu koleksi premium yang ditampilkan hanya boleh didapati di butiknya yang terletak di Jakel Mall Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 1:17 AM