OXLADE-Chamberlain dibelenggu kecederaan lutut sebelum musim baru bermula. FOTO Agensi
OXLADE-Chamberlain dibelenggu kecederaan lutut sebelum musim baru bermula. FOTO Agensi
AFP

PEMAIN tengah Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain bakal terlepas aksi Perisai Komuniti menentang juara Piala FA, Arsenal selepas mengalami kecederaan lutut.

Perkara itu disahkan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan mengakui kecederaan anak buahnya berusia 27 tahun itu berlaku ketika latihan di kem pramusim di Austria.

Oxlade-Chamberlain, yang mengalami kecederaan lutut serius pada 2018, kembali ke England untuk melakukan proses pemulihan dengan pasukan perubatan kelab.

Klopp berkata, kecederaan itu kelihatan sama seperti yang dialami ketua pasukan, Jordan Henderson ketika di hujung musim namun tidak memerlukan pembedahan.

"Sangat malang. Situasi yang tidak diingini berlaku, ia adalah cabaran (di dalam latihan).

"Ia kelihatan sama seperti apa yang berlaku kepada Hendo (Jordan Henderson), di mana kita tidak tahu berapa lama ia mengambil masa untuk sembuh namun dan apa yang pasti di pramusim ini dia tidak akan bermain begitu juga ketika menentang Arsenal.

"Aksi seterusnya ialah tidak sampai dua minggu tapi saya tidak tahu keadaannya. Kita harus menunggu namun ia sangat sukar untuk melihat ia sembuh dengan sempurna," kata Klopp.

Liverpool beraksi dalam dua perlawanan persahabatan di Austria sebelum menentang Arsenal untuk aksi pembuka tirai tradisi bagi saingan domestik musim baru di Wembley Sabtu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 12:01 AM