AFP

Madrid: Bekas pengurus Manchester United, David Moyes tiba di Sepanyol semalam untuk mengambil alih tugas ketua jurulatih baru kelab bermasalah Real Sociedad.

Kapten Real Sociedad Xabi Prieto berkata, pasukan itu “tidak sabar bertemunya dan berlatih di bawah kendaliannya”.

“Saya fikir beliau seorang pengurus yang bagus, amat berprestij dan bertindak baik di England,” jelas Prieto dalam laman web kelab itu, memuji rekod pengurus Scotland itu ketika berkhidmat 11 tahun bersama Everton dalam Liga Perdana Inggeris.

“Memang amat sukar berada terlalu lama di sebuah kelab seperti dilakukan David bersama Everton dan ia bermakna beliau bertindak dengan amat bagus. Beliau berjaya membantu kelab itu beraksi di Eropah. Saya harap perkara sama boleh dilakukannya bersama Real Sociedad.”

Moyes, 51, dijangka tiba kelmarin dan melatih pasukannya buat kali pertama semalam namun ketibaannya ditangguh kerana alasan yang tidak diketahui.

Beliau dipecat Manchester United April lalu selepas kurang semusim bertugas di Old Trafford apabila mereka gagal layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1995.

Pengendali dari Scotland itu berjaya selama 11 tahun di Everton sebelum mengambil alih jawatan itu di Old Trafford walaupun beliau belum pernah memenangi trofi utama sebagai jurulatih.

Sociedad mencari jurulatih baru sejak Jagoba Arrasate dipecat minggu lalu selepas hanya melakar satu kemenangan dalam 10 perlawanan awal liga.

Mereka bagaimanapun bangkit bergaya apabila menundukkan juara La Liga, Atletico Madrid 2-1 Ahad lalu, yang menyaksikan mereka terkeluar daripada zon penyingkiran.

Sociedad mempunyai sejarah melantik pengurus British bermula Henry Lowe pada 1930, John Toshack dan kali terakhir Chris Coleman pada musim 2007-08.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:07 AM