MOYES dilantik menjadi pengganti Bilic.
MOYES dilantik menjadi pengganti Bilic.
Reuters

LONDON: West Ham United melantik bekas pengurus Manchester United, David Moyes sebagai pengendali baru bagi menggantikan Slaven Bilic yang dipecat, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Bilic dipecat semalam selepas pertemuan dengan pegawai pasukan itu susulan prestasi buruk West Ham yang tewas 4-1 di tangan Liverpool sekali gus menghuni zon penyingkiran dengan hanya meraih dua kemenangan dalam 11 aksi liga.

“Kita perlu melakukan kerja yang lebih keras tetapi saya yakin dengan kerjasama semua pihak, kita akan kembali meraih keputusan positif,” kata Moyes menerusi video yang dipaparkan di laman sosial Twitter pasukan.

PEMAIN Hammers bakal menerima sentuhan Moyes.
PEMAIN Hammers bakal menerima sentuhan Moyes.

Moyes mengharungi karier EPL yang memberangsangkan hingga menyaksikan beliau cemerlang mengemudi Everton selama 11 tahun dan berjaya membawa pasukan itu mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara Juara 2005 selain membawa The Toffees ke pentas akhir Piala FA 2009.

Reputasi itu membolehkan beliau menggantikan Sir Alex Ferguson selaku pengendali Manchester United namun kegagalan meneruskan legasi yang dibina Ferguson menyebabkan beliau dipecat hanya selepas 10 bulan menjadi jurulatih The Red Devils.

Pengendali berusia 54 tahun itu kemudiannya berkelana ke Sepanyol dan membimbing Real Sociedad pada 2014 sebelum kembali ke England tahun lalu untuk menggantikan Sam Allardyce sebagai pengurus Sunderland.

MOYES mempunyai karier yang bagus dalam EPL.
MOYES mempunyai karier yang bagus dalam EPL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 8:08 PM