AZMIN pernah menanggung hutang keliling pinggang dan tidak mahu perkara itu dialami penuntut dan lepasan graduan.
AZMIN pernah menanggung hutang keliling pinggang dan tidak mahu perkara itu dialami penuntut dan lepasan graduan.
'Student Mall' yang diusahakan oleh UMEC.
'Student Mall' yang diusahakan oleh UMEC.
AZWIN puas dapat membantu penuntut dan lepasan graduan menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan.
AZWIN puas dapat membantu penuntut dan lepasan graduan menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan.
Redzuan Muharam


Dulu Azmin Zawani Aziz pernah dibebani hutang keliling pinggang sehingga terpaksa menggadai emas pemberian ibu demi melunaskannya.

Kini, alumni Universiti Malaya (UM) itu bebas daripada masalah berkenaan dan demi membantu penuntut dan siswazah, Azmin tampil dengan tawaran bimbingan dan platform keusahawanan bagi yang berminat.

Azmin berkata, inisiatif itu dilakukan bagi memberi jalan khasnya untuk siswazah yang masih menganggur selepas tamat pengajian.

“Saya pernah menganggur lebih setahun selepas tamat belajar dulu dan merasai kesusahan apabila terpaksa menanggung hutang pinjaman seperti pengajian dan kereta.

“Sampai satu tahap, saya terpaksa meminjam duit rakan selain bekerja sambilan sebagai penjual ayam gunting dan beberapa pekerjaan lain untuk kelangsungan hidup.

“Jadi, saya faham benar dengan masalah penuntut di kampus juga siswazah dan itu yang mendorong diri untuk membantu mereka keluar dari kesusahan,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Projek di Pusat Keusahawanan UM (UMEC), Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut, Azmin berkata, tiada bantuan dana diberikan menerusi program berkenaan tetapi mereka yang serius akan diberi khidmat nasihat dan bimbingan mengikut perniagaan bakal dijalankan.

Selebihnya, Azmin berkata, bantuan diberi melalui program anjuran UMEC dengan kolaborasi bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“Sembilan daripada 10 rezeki datangnya daripada perniagaan jadi sebab itu saya tekad membantu lepasan graduan yang mempunyai minat dalam bidang keusahawanan secara sukarela.

“Alhamdulillah, ramai yang menunjukkan minat dan datang merujuk saya untuk mengetahui cara memulakan, mengekalkan dan menyelamatkan perniagaan yang hampir gagal,” katanya.

Azmin berkata, meskipun tidak dapat membantu sepenuhnya, dia gembira kerana apa yang dilakukan itu sekurang-kurangnya membuka jalan untuk penuntut universiti dan lepasan graduan memperoleh wang sementara mendapat pekerjaan tetap.

Katanya, secara tidak langsung, bilangan mereka yang menganggur juga dapat dikurangkan sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan muda.

“Zaman sekarang ini memang sukar mendapat pekerjaan kerana kebanyakannya mahu mengambil mereka yang berpengalaman berbanding siswazah baru.

“Jika ada pekerjaan sekalipun, gajinya tidak bersesuaian jadi salah satu cara untuk menjana pendapatan adalah dengan membuka perniagaan sendiri selepas tamat pengajian.

“Walaupun terpaksa lari dari bidang sebenar, ia lebih baik daripada mereka tidak bekerja dan mengharapkan bantuan orang sekeliling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 7:53 AM