Mohd Adnan menunjukkan gambar Ah Bao yang dikehendaki berkaitan kes tetak pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir.
Mohd Adnan menunjukkan gambar Ah Bao yang dikehendaki berkaitan kes tetak pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir.

Shah Alam: Polis memburu ketua kumpulan gengster bagi membantu siasatan kes dua kontraktor diserang dan ditetak di kawasan Pandamaran, Pulau Indah, Pelabuhan Klang awal bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek dikenali sebagai Lim Poh Seong atau Ah Bao, 39, beralamat di Pandamaran yang dipercayai ketua kumpulan Ang Su Tong.

Katanya, dalam kejadian 4.30 petang, 4 September lalu, kedua-dua kontraktor yang juga adik beradik parah akibat ditetak empat lelaki tidak dikenali menggunakan parang dan pedang samurai.

"Mangsa berusia 55 tahun hampir putus pergelangan tangan kanan dan cedera di bahagian kaki serta badan sementara seorang lagi mangsa berusia 49 tahun cedera di tangan kanan.

"Motif kejadian dipercayai berpunca daripada keengganan kedua-dua mangsa yang baru mendapat projek bagi kerja pelandskapan di sebuah kawasan di Pulau Indah membayar wang perlindungan kepada kumpulan ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya menahan 12 suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan parah dengan senjata.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang diburu supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Sukri Ayob di talian 012-5586363 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Mohd Adnan dalam pada itu berkata, pihaknya juga memburu tiga suspek bagi membantu siasatan kes tembak seorang lelaki di Bandar Baharu Klang dekat sini pada 21 Ogos lalu.

Katanya, ketiga-tiga lelaki yang diburu itu ialah Lim Hock Seong, 28, dari Taman Meru Selatan, Klang; Oh Cheok Seng @ Ah Lu, 51, dari Jalan Batu Belah, Klang dan Loke Kok Chew, 53, dari Jalan Tiong Off Jalan Meru, Klang.

"Dalam kejadian itu, mangsa berusia 45 tahun terkena dua das tembakan di paha kiri serta perut dan meninggal dunia selepas 17 hari menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Motif kejadian dipercayai balas dendam," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki ini supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Chua Hang Loun di talian 019-3193193 atau menghubungi balai polis berhampiran. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 7:45 PM