Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Klang: Seorang pemandu teksi berusia 55 tahun maut selepas diserang dan ditetak dengan parang oleh seorang lelaki Bangladesh dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kepayang, Klang, malam tadi.

Dalam kejadian 10.10 malam itu, mangsa, Mohd Alias Mahani, 55, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya menemui suspek berusia 30-an di depan sebuah kedai kosong di Jalan Meru.

Katanya, berdasarkan keterangan rakan mangsa, berlaku tolak menolak sebelum suspek melarikan diri dan mangsa mengejarnya.

“Rakan mangsa yang berusia 35 tahun kemudian menghubungi seorang lagi rakan mereka.

"Kedua-duanya mencari mangsa di sekitar kawasan itu kira-kira sejam namun tidak menemuinya.

"Mereka kemudiannya menemui rakan wanita mangsa sebelum dibawa ke rumah sewa suspek di Jalan Kepayang," katanya.

Menurutnya, salah seorang rakan mangsa memasuki rumah berkenaan dan menemui mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis kini giat mengesan suspek dari Bangladesh yang dikenali sebagai Jais.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 12:41 PM