LAPORAN portal MyMetro
LAPORAN portal MyMetro
Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: Polis menahan lima individu yang disyaki terbabit dengan kes khianat simbah cat hijau dan bakar kenderaan milik seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Taman Pandamaran Permai, Klang, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, semua suspek yang berusia 30-an itu ditahan di sekitar Klang, semalam.

"Dalam kejadian pertama Selasa lalu, mangsa berusia 50-an ada membuat laporan berkaitan kenderaan jenis Proton X70 miliknya disimbah cat.

"Selepas kejadian itu, mangsa membawa kenderaan berkenaan ke pusat mencuci kenderaan di Jalan Taman Pandamaran Permai, Klang, untuk membersihkan simbahan cat pada 10.30 pagi, semalam.

"Ketika menghantar kereta ke pusat mencuci kenderaan itu, muncul dua suspek yang kemudian bertindak membakar kenderaan terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, hari ini.

Arjunaidi berkata, siasatan lanjut dilakukan pihaknya berjaya menahan lima lelaki berusia antara 29 tahun hingga 64 tahun.

"Kami percaya motif kejadian ini ada kaitan dengan tugas mangsa yang bertugas di Pelabuhan Klang, manakala kelima-lima suspek terbabit dipercayai bekerja sebagai ejen 'forwarding' (penghantar) di Pelabuhan Klang.

"Semakan dilakukan mendapati semua suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan permohonan reman terhadap mereka akan dibuat hari ini.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kenderaan milik pegawai kanan kastam musnah akibat terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat di sebuah pusat mencuci kenderaan di Taman Pandamaran Permai, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dipetik berkata, kenderaan berkenaan sebelum itu dibaling cat di persimpangan lampu isyarat sebelum ia dihantar ke pusat mencuci kenderaan di Jalan Taman Pandamaran Permai untuk dibersihkan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 2:19 PM