Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hampir 20 permohonan untuk mengisi jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) sudah diterima Kementerian Belia dan Sukan dengan Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail yang sebelum ini disebut-sebut calon terbaik untuk memegang jawatan itu, masih belum mengemukakan permohonan secara rasmi.

Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata, tempoh permohonan untuk jawatan berkenaan masih dibuka dan pihaknya akan melakukan penilaian selepas tarikh permohonan tamat.

“Kebanyakan permohonan adalah dari dalam negara dan ada satu atau dua dari peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas hadir pada program Inspire iTrain di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik semalam.

Berhubung Ahmad Shapawi, Khairy berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Insitut Sukan Negara (ISN) itu perlu mengemukakan permohonan seperti individu lain sekiranya masih berminat untuk mengisi jawatan Ketua Pengarah MSN.

“Setakat sekarang, saya belum mendengar lagi Shapawi buat permohonan. Kalau dia nak, dia kena cepatlah (memohon).

“Kalau dia tidak mohon, saya tidak boleh pertimbangkan,” katanya.

Jawatan berkenaan diiklankan pada 4 November lalu di laman web rasmi KBS hingga tempoh tiga minggu akan datang.

Sebelum ini jawatan Ketua Pengarah MSN disandang Datuk Seri Zolkples Embong yang kini dilantik sebagai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:18 AM