Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail antara lapan nama akhir yang berada dalam pertimbangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mengisi jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Turut mendapat pertimbangan Khairy bagi menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong, Dr Hamdan Mohd Ali, Datuk Salim Parlan dan seorang calon luar negara dari Wales, Richard Vaughan.

“Lapan calon ini dilihat paling layak dalam kalangan 43 permohonan yang diterima. Proses temu duga akan bermula minggu depan.

“Empat calon akan ditemuduga pada Isnin manakala bakinya, Selasa di Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” kata sumber.

Paling mencuri tumpuan nama Ahmad Shapawi yang dilihat calon pilihan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Zolkples susulan pengalaman luas dimilikinya ketika bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan, Jun tahun lalu.

Pengalaman dimilikinya terutama dalam aspek membabitkan ‘kerenah’ persatuan sukan kebangsaan menjadi faktor yang menjadikannya mempunyai kemampuan melonjakkan kembali nama MSN, terutama dalam memastikan pingat emas pertama Sukan Olimpik untuk negara.

Dr Hamdan pula seorang pensyarah di Universiti Malaysia manakala Salim bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS.

Reputasi Vaughan turut dilihat tidak boleh dipandang rendah kerana bekas pemain badminton dari Wales ini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Badminton Ireland selain Pengarah Olimpik British dan Pengarah Komunikasi Badminton Eropah.

Khairy memulakan proses mencari pengganti Zolkples pada awal bulan lalu selepas prestasi hambar kontinjen negara di Sukan Komanwel dan Asia tahun ini.

Zolkples yang memegang jawatan berkenaan sejak 2007 kini dilantik sebagai CEO Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:15 AM