WAN Junaidi (dua dari kiri) bersama Paul (kanan) dan Tan (kiri) pada majlis perasmian DRI secara maya, semalam.
WAN Junaidi (dua dari kiri) bersama Paul (kanan) dan Tan (kiri) pada majlis perasmian DRI secara maya, semalam.
Rosyahaida Abdullah


MAXIS melancarkan Indeks Kesediaan Digital (DRI), penilaian kendiri interaktif dalam talian pertama seumpamanya bagi membantu perniagaan menilai tahap kesediaan digital masing-masing.

Ketua Pegawai Perniagaan Syarikat Maxis, Paul McManus berkata, indeks itu sebahagian usaha berterusan pihaknya dalam membantu mempercepat transformasi digital negara menerusi analisis terhadap tiga tonggak utama dalam perniagaan.

Ia katanya, merangkumi kepuasan pelanggan, produktiviti pekerja dan kecekapan operasi yang diukur dan dirumus dalam bentuk skor meliputi empat tahap kesediaan iaitu 'Sedia', 'Hampir Sedia', 'Tidak Sedia' dan 'Bahaya'.

"Keputusan tinjauan awal DRI membabitkan kira-kira 2,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pelbagai industri mendapati 58 peratus PKS di Malaysia dikategorikan sebagai 'Tidak Sedia' dalam capaian teknologi digital yang lebih baik.

"Penggunaan alat digital untuk pembabitan pelanggan juga masih pada tahap asas dengan 61 peratus menggunakan e-mel dan 40 peratus menggunakan media sosial sebagai saluran komunikasi utama bersama pelanggan.

"Data ini sedikit sebanyak membantu perniagaan untuk bertindak bagi meningkatkan keupayaan mereka meraih faedah dalam kecekapan, produktiviti, pengalaman pelanggan dan kepuasan pekerja menerusi transformasi digital yang lebih baik," katanya pada majlis perasmian DRI secara maya, semalam.

Turut menyertai acara berkenaan adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Pengurusan Komersial dan Pengalaman Pelanggan Syarikat Maxis, Tan Cheong Tatt.

Sementara itu, Tan berkata, DRI boleh diakses secara percuma oleh mana-mana perniagaan sama ada PKS mikro, PKS atau syarikat korporat yang ingin mengukur tahap kesediaan digital masing-masing.

"Kami berharap dapat mengeluarkan laporan DRI sekurang-kurangnya sekali dalam setahun untuk membolehkan bukan saja Maxis, malah kerajaan melihat prestasi transformasi digital dalam kalangan perniagaan di Malaysia dan merangka sesuatu untuk menambah baik angka terbabit," katanya.

Menurut Tan, Maxis bekerjasama dengan Vodafone untuk DRI bagi memanfaatkan pengalaman mereka dengan melancarkan indeks serupa di Eropah yang memberi kuasa kepada perniagaan kecil untuk memulakan perjalanan digitalisasi mereka.

Dalam pada itu, jelas Wan Junaidi, kesediaan digital amat penting dan diperlukan pada masa kini dalam usaha memastikan PKS serta semua usahawan terus berkembang baik di pasaran domestik mahupun antarabangsa.

"Sektor PKS memainkan peranan yang cukup penting dalam ekonomi di Malaysia, lebih-lebih lagi ketika masyarakat sedang berdepan cabaran pandemik yang masih menular.

"Melangkah ke digital bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk terus hidup dan kerajaan semestinya mengalu-alukan inisiatif DRI yang sejajar dengan visi Kementerian untuk memupuk ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:45 AM