Paul McManus
Paul McManus
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Maxis Bhd melancarkan program UsahaWIRA bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi peluang pendigitalan.

Maxis, dalam satu kenyataan berkata syarikat itu akan melaksanakan beberapa siri inisiatif dan isi kandungan yang bersesuaian, dengan memfokuskan program pendigitalan PKS dan insentif oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, inisiatif ini akan memaparkan kisah kejayaan UsahaWIRAs (wira usahawan) yang sudah meraih faedah dari geran dan penyelesaian digital untuk memberi inspirasi kepada ribuan usahawan di seluruh Malaysia.

Katanya, SME Help Squad Maxis juga boleh membantu untuk menjawab segala pertanyaan yang mungkin ada pada pemilik perniagaan berkenaan geran.

"Ketika PKS berusaha untuk melindungi perniagaan mereka di landskap yang penuh cabaran ini, kami mendorong mereka untuk memikirkan apa yang mereka perlukan, baik sekarang mahupun persediaan pada masa depan.  

"Program UsahaWIRA bertujuan untuk memperkasakan mereka untuk bertindak cepat dalam menggunakan teknologi digital dengan mempelajari dari pengusaha berpengalaman.   

"Tujuan kami adalah untuk membimbing mereka setiap langkah dan membantu mereka memanfaatkan digitalisasi, sehingga mereka terus menerajui dunia yang sentiasa berubah," katanya dalam kenyataan.

 Menurutnya, UsahaWIRA adalah untuk membantu mereka mempercepat pengaktifan semula perniagaan dan membina ketahanan untuk masa depan melalui digitalisasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) , Aiza Azreen Ahmad berkata, sehingga kini, MDEC sudah menolong 335,834 PKS ke pasaran digital.

"Kami akan terus menyempurnakan dan menyesuaikan program jangkauan kami dengan visi Malaysia 5.0 oleh MDEC, sebuah negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi yang memperkasakan keterangkuman, kelestarian dan kemakmuran bersama.

"Kami mengalu-alukan program Maxis UsahaWIRA yang akan memberi keyakinan kepada PKS untuk mengambil langkah pertama dalam menjalani digital melalui program Digitalisasi PKS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 5:59 PM