SAIFUDDIN (baju hitam) bersama pengurusan kanan Maxis pada Program Keusahawanan Digital di Kuantan.
SAIFUDDIN (baju hitam) bersama pengurusan kanan Maxis pada Program Keusahawanan Digital di Kuantan.

MAXIS Berhad menjalin kerjasama dengan IMFutures untuk membawa Program Keusahawanan Digital dan inisiatif #MaxisMotivates bagi memberi manfaat kepada usahawan dan belia tempatan.

Bermula dengan komuniti di Indera Mahkota, Kuantan, program kemasyarakatan ini akan dikendali dalam empat bulan akan datang dengan rancangan untuk melaksanakan inisiatif ini ke lebih banyak lokasi di masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, pihaknya komited membawa teknologi terbaik bagi membolehkan lebih banyak individu, perniagaan dan negara maju kehadapan dalam dunia yang kian berubah.

"Dalam beberapa tahun ini, kami memberi kesan positif kepada pengusaha dan pelajar industri di pelbagai lokasi di seluruh negara melalui bengkel dan sesi motivasi.

"Kini, kami berharap dapat melancarkan inisiatif ini kepada lebih banyak komuniti untuk membantu mereka merealisasikan potensi penuh mereka," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada 15 dan 16 Ogos lalu, Maxis mengambil bahagian dalam Karnival Digital Indera Mahkota yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada karnival itu, Maxis mempamerkan program keusahawanan dan program komuniti utamanya, eKelas serta penyelesaian digital untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Geran Digitalisasi PKS ditawarkan kerajaan.

Program keusahawanan Maxis dirancang untuk melengkapkan PKS tempatan dengan alat digital yang tepat untuk mengoptimumkan perniagaan mereka menggunakan media sosial, penciptaan kandungan dan fotografi yang dilatih oleh sukarelawan Maxis, M Squad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 6:15 AM