DZULKIFLI (dua dari kanan), selepas merasmikan Seminar Memanfaatkan Renminbi Bagi Meningkatkan Eksport ke China, semalam.
DZULKIFLI (dua dari kanan), selepas merasmikan Seminar Memanfaatkan Renminbi Bagi Meningkatkan Eksport ke China, semalam.

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), mengunjurkan jumlah nilai perdagangan antara Malaysia dan China akan mencapai sehingga AS$110 bilion (RM458.7 bilion) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, nilai dagangan itu dijangka meningkat daripada jumlah yang direkodkan pada tahun lalu iaitu AS$102 bilion (RM425.34 bilion).

Katanya, China juga kekal sebagai rakan perdagangan terpenting Malaysia dan sebagai destinasi eksport kedua negara yang utama berbanding negara lain.

“Kami berharap nilai dagangan ini akan meningkat seperti yang disasarkan terutama dipacu oleh komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan dagangan dua hala kepada AS$160 bilion menjelang 2017.

“Malah, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, dagangan kita dengan China naik sebanyak 9.6 peratus kepada RM147.55 bilion,” katanya selepas merasmikan ‘Seminar Memanfaatkan Renminbi Bagi Meningkatkan Eksport ke China’ di sini, semalam.

Seminar itu dianjurkan Matrade sebagai sebahagian daripada usaha menggalak syarikat tempatan menggunakan Renminbi dalam perniagaan dengan China berikutan kedudukannya yang stabil dan konsisten serta dapat mengurangkan kerugian pertukaran asing.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perniagaan dan Bahan Binaan Matrade, Ong Yew Chee.

Dzulkifli berkata, nilai eksport Malaysia ke China juga meningkat sebanyak 9.3 peratus kepada RM65.17 bilion manakala import naik 9.8 peratus kepada RM82.18 bilion.

Menurutnya, walaupun pelbagai faedah diperoleh daripada penggunaan mata wang itu, kurang daripada lima peratus dagangan di antara Malaysia dan China ditransaksi menggunakan Renminbi kerana peniaga sudah biasa dengan mata wang seperti dolar AS dan Euro.

Sementara itu, mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang belum lagi ditandatangani dan diluluskan Parlimen, beliau berkata, ia akan menjadi platform yang baik untuk negara perdagangan seperti Malaysia.

Menurutnya, TPPA bukan sahaja akan mengembangkan perniagaan syarikat tempatan di seberang laut, tetapi juga memanfaatkan syarikat yang mengimport bahan mentah sebelum mengeksport produk akhir mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:50 AM