PEMAIN negara, Meor Muhamad Azuan Hassan (tengah) diasak pemain Britain, Liam Sanford (kanan).
PEMAIN negara, Meor Muhamad Azuan Hassan (tengah) diasak pemain Britain, Liam Sanford (kanan).

Johor Bahru: Hasrat skuad Projek 2016 untuk mencatat kemenangan pertama pada Piala Sultan Johor tidak kesampaian apabila mereka tewas 2-4 kepada Britain, malam tadi.

Kekalahan itu mencetus rasa berang pengendali negara Arul Selvaraj yang mengakui kesilapan mudah penjaga gol Mohammad Ridzwan Azmi serta kegagalan beberapa pemain senior beraksi dengan baik menjadi punca kekalahan itu.

“Ridzwan sememangnya bertanggungjawab dengan kekalahan ini kerana dia kerap melakukan kesilapan mudah yang membenarkan lawan menjaringkan gol.

“Sementara beberapa pemain senior gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan. Kami akan bangkit apabila bertemu Argentina esok (hari ini),” katanya pada sidang media semalam.

Britain memperoleh gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Luke Taylor pada minit ke-32.

Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti seminit kemudian namun kapten Mohd Najib Abu Hasan gagal menampan kemas tolakan Muhd Amirol Aideed Md Arshad.

Kedudukan skuad negara semakin sukar apabila Britain memperoleh gol kedua menerusi Robert Gleeson pada minit ke-44.

Bagaimanapun skuad bimbingan Arul tidak berputus asa dan akhirnya berjaya merapatkan jurang hasil jaringan padang Muhd Azwar Abd Rahman pada minit ke-48.

Pakar pukulan sudut penalti Shahril Saabah kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Bagaimanapun kapten Britain, Taylor kembali meletakkan mereka di depan selepas tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-62 sebelum dia sekali lagi menambah gol keempat enam minit kemudian.

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan, juara bertahan India tidak berdepan masalah membelasah Pakistan 5-1.

Pertemuan yang dijangka sengit membabitkan dua gergasi Asia itu meleset selepas India mendahului empat gol pada babak pertama menerusi gol padang Ajay Yadav (m-6), Sumit Kumar (m-23), Armaan Qureshi (m-28) dan Parvinder Singh (m-34).

Muhammad Yaqoob menyumbang gol pertama Pakistan (m-45) tetapi India terus memberi tekanan dengan menambah gol kelima hasil jaringan Santa Singh (m-60).

Argentina pula mengejutkan Australia 1-0 untuk mengutip tiga mata berharga menerusi gol tunggal Ladislao Gencarelli lima minit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:28 AM