Kuala Lumpur: Sime Darby Plantation Sdn Bhd berhasrat mengemukakan tawaran tunai untuk memperoleh semua 49.87 peratus kepentingan dalam New Britain Palm Oil Ltd (NBPOL) daripada Kulim (Malaysia) Bhd pada harga tunai £1.073 bilion.

Pengambilalihan itu membabitkan premium 85 peratus ke atas harga penutup terakhir NBPOL di Bursa Saham London pada 8 Oktober 2014 dan premium 79.9 peratus daripada harga penutup terakhir di Port Moresby Stock Exchange pada harga £7.15 sesaham.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby berpendapat tawaran pada harga premium itu besar berbanding harga pasaran semasa dan menyediakan peluang mudah tunai yang amat menarik kepada semua pemegang saham NBPOL.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, pengambilalihan itu adalah pencapaian penting bagi pengeluar terbesar minyak sawit dan isi rong sawit itu dan ia diyakini akan membawa keuntungan dan memberi sumbangan besar kepada hasil syarikat pada tahun hadapan.

“Pengambilalihan ini dijangka selesai menjelang akhir tahun ini dan meningkatkan jumlah bank tanah bagi kedua-dua syarikat kepada hampir sejuta hektar dengan pengambilalihan itu akan dibiayai melalui 20 peratus dana dijana secara dalaman dan 80 peratus pinjaman luar,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sime Darby memutuskan untuk membuat tawaran terbabit selepas menerima surat bertarikh 1 Oktober 2014 daripada Perdana Menteri Papua New Guinea (PNG) yang mengakui bahawa Sime Darby berminat untuk membuat tawaran am bagi NBPOL.

Tawaran terbabit menunjukkan keyakinan kukuh Sime Darby dalam NBPOL, lembaga pengarah, pasukan kepemimpinan dan pekerja mahir di samping produk dan perkhidmatan NBPOL yang akan membawa kepada pasaran. Ia juga adalah keyakinan dalam prospek pertumbuhan PNG, Solomon Islands dan pasaran lain yang dimiliki NBPOL.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 12:22 AM