NAZAR (tengah) menunjukkan produk DNA Global.
NAZAR (tengah) menunjukkan produk DNA Global.

Kuala Lumpur: DNA Global Sdn Bhd (DNA Global) terus melebarkan sayapnya dengan menembusi pasaran Indonesia, sekali gus meletakkan sasaran jualan RM5 juta sebulan iaitu peningkatan lima kali ganda berbanding jualan RM1 juta sebulan pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazar Samat berkata, syarikat akan meluaskan pasaran ke seluruh Indonesia bermula di Medan, Jakarta, Pekan Baru, Surabaya, Bandung dan Aceh bagi memasarkan produk minuman berasaskan sarang burung walet.

“Permintaan untuk produk sarang burung walet sangat memberangsangkan bagi pasaran Malaysia dan Indonesia, malah kami mencatatkan pertumbuhan jualan 30 peratus setiap tahun di negara ini sahaja.

“Bermula tahun depan, kami menyasarkan meneroka pasaran Asia seperti India dan Bangladesh serta Thailand untuk memenuhi permintaan di sana,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Menurutnya, syarikat mempunyai lebih 10,000 ejen di seluruh Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak dan pihaknya masih membuka peluang kepada orang ramai yang ingin menjana pendapatan sampingan menjadi wakil pengedar dan stokis DNA Global.

Beliau berkata, sejak syarikat ditubuhkan pada 2011, pihaknya melahirkan ramai stokis yang berjaya dalam perniagaan bersama DNA Global, sekali gus mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

“Minuman sarang burung walet DNA Global ini adalah produk terbaik di pasaran kerana sumbernya dari gua di Sabah dan kami mengeluarkan dua jenis iaitu Walet Stevia dan Walet Ginseng bagi memberi kesihatan optimum kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, kebaikan jus walet DNA Global melancarkan peredaran darah, mencantikkan kulit dan membantu mereka yang mempunyai penyakit diabetes dan pelbagai lagi dan pihaknya menerima lebih 10,000 testimoni yang memberi maklum balas positif dengan mengamalkan jus sarang walet ini.

“Kami mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk menjadi usahawan DNA Global dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi 013-286 2026 atau 014-9256095 atau melayari www.dnaglobal2u.com,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:02 AM