GISELE sewaktu menganggotai band muzik Spectrus bersama abangnya.
GISELE sewaktu menganggotai band muzik Spectrus bersama abangnya.
Susunan Siti Salmiah A Hamid

“Islam agamaku, muzik kerjayaku.” Itulah jawapan Gisele Marie ditanya mengenai tindakannya memakai purdah ketika bermain gitar yang mengalunkan irama ‘heavy metal’ di pentas konsert.

Penampilannya ternyata mengejutkan banyak pihak, sekali gus memecahkan stereotaip wanita berpurdah.

Tidak dinafikan ramai wanita Islam yang menutup aurat kecuali muka dan tapak tangan menceburi bidang nyanyian atau bermain alat muzik, tetapi Gisele mungkin satu-satunya yang berpurdah! Lebih mengejutkan, genre pilihannya ialah muzik bingit dan ‘keras’.

Gisele Marie dari Sao Paulo, Brazil, kini bekerja keras untuk menyiapkan album pertama kumpulannya dan membuat kajian mengenai muzik keagamaan selama enam jam setiap hari.

Dia bagaimanapun masih merahsiakan nama kumpulannya sehingga album mereka diterbitkan tahun depan.

Gisele yang menggunakan gitar elektrik Gibson Flying V sebelum ini adalah anggota kumpulan heavy metal Spectrus yang diasaskan abangnya selama beberapa tahun sebelum berpisah dengan memberi alasan ‘perbezaan profesional’.

Wanita berusia 42 tahun ini adalah cucu kepada penganut Katolik dari Jerman dan memeluk Islam pada 2009, iaitu beberapa bulan selepas bapanya meninggal dunia.

Dia yang menjadi pemain gitar utama kumpulannya dan kerap memukau penonton dengan kemahiran dan aksinya di pentas meminati gitaris genre heavy metal tersohor, Randy Rhoads selain Jimi Hendrix, Lucia Jaco, Yngwie Malmsteen, Zakk Wylde dan Jeff Beck.

“Saya daripada keluarga yang mempunyai ikatan rapat dengan budaya terutama muzik. Saya mula mempelajari alat muzik sejak berusia lapan tahun, bermula dengan piano,” katanya.

Menurut Gisele, ramai terkejut melihat wanita Islam sepertinya yang memakai purdah bermain muzik, apatah lagi irama heavy metal. Bagaimanapun, ada yang berasakan penampilan seperti itu cukup menarik.

“Saya tak peduli pandangan orang terhadap saya kerana memakai purdah, tapi berharap mereka faham Islam agama saya dan muzik kerjaya saya. Sememangnya dua perkara itu melambangkan ciri peribadi saya.

“Saya fokus dalam bidang muzik dan hakikat saya beragama Islam tidak mempunyai pengaruh terhadap muzik,” katanya.

Ditanya sama ada, dia kini memecah stereotaip orang ramai, Gisele berkata: “Ya, itu sudah pasti. Saya harap lebih ramai wanita Islam melakukan perkara sama.”

“Saya dibesarkan daripada keluarga Kristian, tetapi dalam keluarga, perkara tidak menimbulkan sebarang masalah, malah mereka me­nyokong saya,” katanya.

Diaju persoalan sama ada berlaku sebarang musibah ketika dia memakai purdah sewaktu beraksi, Gisele berkata: “Buat pengetahuan anda, saya sudah lama memakai purdah.

“Bagi saya, ia pakaian seharian, pakaian biasa saya dan tiada apa yang berbeza ketika memakai purdah di atas pentas.

“Malah, saya rasa mampu mendaki tembok dengan memakai pakaian ini dan saya tiada masalah dengannya,” kata Gisele.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:21 AM