SEORANG pekerja menyapu sampah di tepi jalan di Pekanbaru di wilayah Riau, semalam.
SEORANG pekerja menyapu sampah di tepi jalan di Pekanbaru di wilayah Riau, semalam.
Agensi

Pekanbaru, Indonesia: Penduduk di wilayah Riau yang paling teruk terjejas akibat jerebu sejak dua bulan lalu meminta kerajaan menyediakan tong oksigen kerana mereka semakin sukar bernafas.

Penduduk bandar ini, Nunik Suherni berkata, dia tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk mengelak daripada jerebu.

Katanya, Sumatera Barat yang dijadikan tempat penduduk terutama kanak-kanak dan orang tua berlindung dari jerebu kini turut dilitupi jerebu tebal.

“Jadi mana lagi kami mahu pergi. Asap juga sudah masuk ke dalam rumah dan baunya sangat kuat,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Nuni memberitahu, mereka bukan sahaja memerlukan askar dan peralatan pemadam api, tetapi bantuan oksigen.

Katanya, penduduk di bandar itu semakin lemas kerana jerebu menyebabkan paras oksigen dalam udara berkurangan.

“Bantuan yang kami sangat perlukan ketika ini adalah oksigen.

“Bantuan mungkin berupa tabung oksigen atau paling tidak alat untuk menghapuskan asap di dalam rumah.

“Saya rasa itulah bantuan yang sangat kami perlukan ketika ini,” katanya.

Riau adalah wilayah paling teruk dilanda jerebu dan beberapa kawasan mencatatkan indeks pencemaran udara melebihi 1,000.

Pihak berkuasa Indonesia dikritik hebat negara jirannya selepas dilihat masih gagal mengatasi masalah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 8:40 AM