TIN oksigen yang dijual di sebuah kedai di Ulaanbaatar. - AFP
TIN oksigen yang dijual di sebuah kedai di Ulaanbaatar. - AFP
KEADAAN pencemaran udara di Ulaanbaatar yang berpunca daripada penggunaan ketuhar arang batu, asap kenderaan dan janakuasa elektrik. - AFP
KEADAAN pencemaran udara di Ulaanbaatar yang berpunca daripada penggunaan ketuhar arang batu, asap kenderaan dan janakuasa elektrik. - AFP
AFP

Ulaanbaatar, Mongolia: Bosan dengan jerebu teruk, penduduk di bandar ini memilih untuk meminum teh “paru-paru” dan “koktel oksigen” dalam usaha untuk melindungi diri mereka daripada pencemaran udara walaupun pakar memberitahu, tiada bukti produk itu berkesan.

Pada 2016, Ulaanbaatar diumumkan sebagai ibu kota paling tercemar di dunia mengatasi New Delhi dan Beijing, dengan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran kanak-kanak serta ibu mengandung paling berisiko tinggi.

Pencemaran udara di bandar itu disumbangkan penggunaan ketuhar arang batu untuk memasak dan memanaskan rumah oleh majoriti penduduk miskin, selain kenderaan serta janakuasa elektrik.

Apa yang menarik, beberapa syarikat mengambil kesempatan dengan menjual produk oksigen yang didakwa boleh membantu pengguna menikmati udara yang bersih.

Di sebuah kedai, beberapa tin oksigen berwarna biru dengan label “udara adalah kehidupan” dijual pada harga AS$2 (RM7.89).

Dengan menggunakan straw khas, tin itu disembur pada segelas air untuk menjadikan ia satu minuman yang berbuih, manis dan penuh dengan oksigen.

Satu iklan yang terdapat di bandar itu mendakwa dengan meminum segelas air berkenaan adalah bersamaan dengan tempoh tiga jam berjalan di hutan.

Di beberapa kedai lagi terdapat mesin menjual “koktel oksigen” dalam bentuk kopi dan jus buah-buahan dengan harga AS$1 (RM3.94).

Wanita mengandung antara pengguna utama produk yang diimport dari Russia itu.

Batbayar Munguntuul, seorang akauntan dan ibu kepada tiga orang anak berkata, dia sering membeli minuman itu ketika mengandung tetapi kesihatannya tidak berubah.

“Setiap musim sejuk kami sering membeli ubat dan ia seperti barangan runcit yang perlu dibeli selalu,” katanya.

Ramai penduduk juga memilih untuk meminum beberapa teh keluaran syarikat Enkhjin, Ikh Taiga dan Dr Baatar yang didakwa boleh membersihkan paru-paru.

Ketua pegawai eksekutif Dr Baatar, Baatar Chantsaldulam berkata, jualan teh itu meningkat hingga 30 peratus ketika musim sejuk apabila pencemaran melonjak ke tahap tertinggi.

Bagaimanapun, ketua jabatan kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Maria Neira memberitahu tiada bukti produk itu berkesan dan cara terbaik melindungi sistem pernafasan adalah mengurangkan serta mengelak terdedah dengan pencemaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 5:47 AM