Mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja diadakan  di Istana Negara hari ini. - Foto NSTP (Fail)
Mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja diadakan di Istana Negara hari ini. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak yang terbabit.

Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan berjaya.

"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu.

Antara lain dalam kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja di Istana Negara hari ini, berbunyi: “Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.

"Akibatnya rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan

pandangan dunia terhadap Malaysia."

Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia

berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.

"Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 7:50 PM