PRESIDEN FIFA Gianni Infantino menyerahkan trofi Anugerah Pemain Terbaik FIFA kepada Lewandowski dalam majlis yang dijalankan secara virtual. FOTO AFP
PRESIDEN FIFA Gianni Infantino menyerahkan trofi Anugerah Pemain Terbaik FIFA kepada Lewandowski dalam majlis yang dijalankan secara virtual. FOTO AFP
AFP

Berlin: Diberi gelaran 'The Body' dan mesin oleh isterinya, Robert Lewandowski berjaya melaksanakan misi mustahil yang difikirkan agak sukar buat semua orang iaitu mengetepikan bintang, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk meraih anugerah dalam sukan bola sepak.

Awal pagi tadi, penyerang Bayern Munich kelahiran Poland ini berjaya meraih Anugerah Pemain Terbaik FIFA 2020 selepas membantu kelabnya meraih gelaran Liga Juara-Juara tahun ini.

"Dia berhak meraihnya berbanding orang lain. Dia bermain satu musim dengan sepenuh hatinya," kata Pengerusi Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge selepas Lewandowski meledak 55 gol pada musim 2019/20 untuk membolehkan Bayern merah gelaran 'treble'.

Lewandowski setakat ini sudah menjaringkan 18 gol dalam 17 perlawanan, dengan meledak dua jaringan ketika menentang Wolfsburg Rabu lalu untuk mengumpul 250 gol di Bundesliga.

Bagaimanapun, Lewandowski harus menunggu sehingga usia 32 tahun untuk meraih gelaran terbaik FIFA selepas membuktikan kemampuannya di saingan kalah mati Liga Juara-Juara musim lalu.

Walaupun berjaya meraih penjaring terbanyak Bundesliga sebanyak lima kali dalam tujuh musim terakhir, Lewandowski sebenarnya bergelut untuk menyerlahkan reputasinya di aksi Liga Juara-Juara.

Sebelum Februari, dia gagal untuk menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan di peringkat kalah mati.

Empat gol ketika bersama bekas kelabnya, Borussia Dortmund ketika aksi separuh akhir pertama mengalahkan Real Madrid pada 2012 hanya menjadi sejarah yang semakin pudar.

Bagaimanapun, semuanya berubah pada aksi 16 terakhir Februari lalu ketika mengalahkan Chelsea, apabila Lewandowski berjaya meledak gol di Stamford Bridge, sebelum membantu Serge Gnarby menjaringkan dua gol untuk meraih kemenangan 3-0 di tempat lawan.

Apabila aksi bersambung selepas enam bulan, Lewandowski meledak dua gol pada saingan timbal balik bagi membantu Bayern mencatat kemenangan 4-1.

Dia terus mencetak nama sebagai penjaring gol ketika mencatat kemenangan bersejarah 8-2 mengalahkan Barcelona di suku akhir dan sekali lagi melakukan jaringan apabila menumpaskan Lyon 3-0 di separuh akhir.

Lewandowski berjaya menjadi penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan mengumpul 15 gol, hanya kurang dua gol untuk menyamai rekod Cristiano Ronaldo meledak gol paling banyak bagi satu musim dan digelar 'LewanGOALski' oleh rakan sepasukannya, Thomas Mueller.

Dia juga digelar 'The Body' oleh rakan sepasukan kerana sikapnya yang berdisiplin terutama dalam pengambilan nutrisi dan latihan, sehingga mempunyai bentuk fizikal yang mantap.

"Suami saya seperti mesin," akui isterinya, Anna, yang juga bekas atlet karate antarabangsa Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 8:43 AM