Reuters

Madrid: Jurulatih Atletico Madrid Diego Simeone mungkin enggan membesarkan isu kekalahan 1-2 di tangan Real Sociedad pada saingan La Liga awal pagi kelmarin tetapi perkara itu pantas mencetuskan persoalan mengenai kemampuan pasukannya untuk mempertahankan gelaran musim ini.

Di bawah bimbingan Simeone, kelab itu menjuarai mahkota liga tempatan buat pertama kali dalam tempoh 18 tahun musim lalu apabila hanya tewas empat kali sepanjang musim berkenaan.

Kekalahan terbaru di Anoeta yang menyaksikan pemain Atletico Guilherme Siqueira dilayangkan kad merah selepas babak pertama berakhir, membuatkan mereka kini sekadar mengumpul 23 mata, 11 mata di belakang pendahulu, Real Madrid.

Sama seperti yang pernah berlaku ke atas pasukan terkemuka lain, Atletico menjual pemain seperti Diego Costa dan Filipe Luis manakala pemain yang baru dibeli pula masih belum serasi.

Bintang seperti pemain Croatia Mario Mandzukic, penyerang Perancis Antoine Griezmann dan pemain sayap Itali Alessio Cerci semuanya mempunyai nama besar tetapi masih belum berada di tahap terbaik masing-masing.

Di benteng pertahanan, Atletico kehilangan ramai pemain berbanding musim lalu di mana mereka turut layak ke final Liga Juara-Juara.

Simeone berkata, beliau tidak terlalu memikirkan soal kekalahan di San Sebastian kerana pesaing terdekat, Sevilla dan Valencia sekadar seri ketika menentang Levante serta Athletic Bilbao.

Pendahulu, Real mengumpul 27 mata diikuti Barca dengan 25 mata dan Valencia (24) serta Atletico dan Sevilla berkongsi 23 mata.

“Saya lega Valencia dan Sevilla seri. Justeru, kekalahan kami itu bukanlah sesuatu yang buruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:16 AM