BANGUNAN BIT Group di Cyberjaya.
BANGUNAN BIT Group di Cyberjaya.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Cyberjaya: BIT Group Sdn Bhd (BIT Group), syarikat milik Bumiputera sepenuhnya yang menawarkan perkhidmatan komunikasi teknologi dan maklumat (ICT) menjangkakan mencapai perolehan kira-kira RM100 juta menjelang akhir tahun ini dipacu oleh tumpuan kepada empat segmen utama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Ali berkata, pada tahun lalu, syarikat berjaya menjana perolehan sebanyak RM77 juta dengan peningkatan sekitar RM25 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Kami akan memberi tumpuan kepada empat segmen iaitu integrasi sistem, kejuruteraan, perisian dan perkhidmatan terurus.

“Dengan fokus yang ditetapkan ini, ia akan memudahkan proses pertumbuhan dilaksanakan dengan teratur dan kami hanya memberi tumpuan kepada bidang kepakaran kami,” katanya, baru-baru ini.

Setakat ini, integrasi sistem adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat iaitu sekitar 40 peratus, kejuruteraan (30 peratus), perisian (20 peratus) dan perkhidmatan terurus (10 peratus).

Menurutnya, pihaknya menjangkakan purata pertumbuhan tahunan sekitar 15 peratus, namun ia bergantung kepada pasaran semasa.

“Dengan nilai matawang yang tidak menentu, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada operasi kami, namun ia bukan masalah utama yang menghalang kami daripada memberikan perkhidmatan berkualiti,” katanya.

BIT Group yang memulakan operasi sejak 1995 dan pihaknya kini bersedia menempuh peralihan status syarikat daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada enterpris. Syarikat itu mengadakan majlis sambutan ulang tahun ke-20 dan pembukaan rasmi bangunan baru di Jalan Perdana CBD Perdana 2, Cyber 12, Cyberjaya, hari ini.

“Dalam tempoh 20 tahun ini, kami berjaya mencatat pelbagai kejayaan dan mulai 2016, syarikat akan mula beralih kepada status enterpris.

“Malah, kami juga meletakkan sasaran untuk kekal dalam ‘kelab RM100 juta’ dengan meninjau pasaran baru terutama dalam aspek pembangunan aplikasi mudah alih,” katanya.

Setakat ini, BIT Group mempunyai lebih 46 pelanggan membabitkan syarikat telekomunikasi, perbankan dan agensi kerajaan. Syarikat itu kini boleh berbangga kerana memiliki bangunan sendiri yang mula beroperasi sejak awal tahun ini dengan kekuatan 245 pekerja di Cyberjaya yang berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC).

Bangunan setinggi empat tingkat itu menempatkan kakitangan pengurusan dan bahagian teknikal yang beroperasi 24 jam. Untuk maklumat lanjut mengenai syarikat itu boleh melayari laman web www.bit.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:10 AM