SOON Huat-Shevon Lai wakil tunggal negara mara ke suku akhir Terbuka India. Foto fail
SOON Huat-Shevon Lai wakil tunggal negara mara ke suku akhir Terbuka India. Foto fail
Helmi Talkah


NASIB berbeza dialami dua beregu campuran negara apabila hanya satu wakil berjaya melangkah ke suku akhir Terbuka India, hari ini.

Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie terus mengekalkan rentak cemerlang mereka apabila mara ke suku akhir buat kali ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga minggu selepas menewaskan pasangan India, Shivam Sharma-Poorvisha S Ram 21-10, 21-16 dalam aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi.

Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking ke-13 dunia sebelum ini berjaya mara sehingga separuh akhir Masters Malaysia dan Masters Indonesia.

Mereka menentang pemenang perlawanan antara pilihan keenam dari China, He Jiting-Du Yue dengan pasangan Thailand, Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kititharakul dalam misi melangkah ke separuh akhir, esok.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menyaksikan mereka terkandas di pusingan kedua.

Beregu campuran nombor satu negara itu tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa 16-21, 21-15, 21-23 dalam tempoh 69 minit.

Sementara itu, cabaran pemain perseorangan profesional lelaki negara, Liew Daren berakhir selepas tewas kepada pemain pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien Chen.

Bagaimanapun, Daren yang juga bekas juara Terbuka Perancis 2012 memberi tentangan sengit apabila mengheret lawannya itu beraksi sehingga set penentuan sebelum tewas 19-21, 21-17, 6-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 9:33 PM