DR Ali menerima  Anugerah Bitara Bahasa Melayu  UKM  bagi kategori ahli akademik bukan warganegara.
DR Ali menerima Anugerah Bitara Bahasa Melayu UKM bagi kategori ahli akademik bukan warganegara.
Fazurawati Che Lah

Bangi: Fasih berbahasa Melayu melayakkan pensyarah berbangsa Hausa dari Ghana, Afrika Barat menerima Anugerah Bitara Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi kategori ahli akademik bukan warganegara.

Profesor Madya Dr Ali Salman adalah pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan bagi Program Media dan Komunikasi berkhidmat hampir lapan tahun di universiti itu.

Dr Ali berkata, dia begitu tertarik dengan bahasa kebangsaan itu sejak kali pertama menjejak kaki di Malaysia 26 tahun lalu.

“Saya ambil masa hampir lima tahun untuk benar-benar fasih dalam bahasa Melayu.

“Saya hanya belajar bercakap bahasa Melayu melalui kawan ketika berada di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selain banyak dibantu isteri yang juga orang Kelantan.

“Bahasa Melayu sangat mudah dipelajari dan sebutannya senang, ia sangat unik berbanding bahasa lain sesuai dengan budaya masyarakat Melayu itu sendiri yang bersikap sopan santun,” katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Bitara, di sini, semalam.

Majlis penyampaian disempurnakan Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Menurut Dr Ali, kejayaan itu disokong usahanya yang giat mendaulatkan bahasa Melayu melalui pengajaran dan penyeliaan tesis dan viva pelajar di peringkat prasiswazah dan siswazah.

“Selain itu terdapat juga beberapa artikel jurnal dan bab dalam buku yang saya tulis dalam bahasa Melayu.

“Saya juga menulis di beberapa akhbar dan majalah di Malaysia,” katanya yang turut menggemari masakan Melayu iaitu Nasi Kerabu.

Selain Dr Ali, Penyampaian Bitara itu turut membabitkan 20 lagi anugerah dengan enam bidang keberhasilan utama yang diberikan kepada ahli akademik dan staf UKM.

Enam bidang keberhasilan itu membabitkan anugerah pendidik, sarjana, keterlibatan industri, Bahasa Melayu dan anugerah makalah dan buku.

Sementara itu, Dr Noor Azlan berkata, penganjuran anugerah itu akan menjadi medan kepada warga UKM untuk sentiasa memberikan yang terbaik untuk kecemerlangan universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:28 AM