JEAN Ultra Stretch ini boleh digayakan hampir semua bentuk potongan badan dan selesa untuk apa jua aktiviti.
JEAN Ultra Stretch ini boleh digayakan hampir semua bentuk potongan badan dan selesa untuk apa jua aktiviti.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Jean. Ia klasik, namun pada masa sama tampil kontemporari. Ia ringkas dan ada kalanya berjaya menghidupkan gaya yang lebih eksentrik.

Gandingkan sepasang celana jean dengan apa saja, ia pasti mencetuskan gaya tersendiri.

Justeru bagi meraikan lagi padanan jean dalam busana harian, Uniqlo tampil dengan himpunan jean generasi baru.

Berdiri atas slogan ‘RE-JEAN’ yang diperkenalkan bagi musim ini, Uniqlo cuba mencabar daya imaginasi, kreativiti dan keupayaan dalam pemakaian jean rekaannya.

Sedikit perincian diberikan kepada jean koleksi ini yang membuatkannya lebih selesa, hangat dan memudahkan pergerakan.

Koleksi popularnya Ultra Stretch dikembangkan dengan beberapa tambahan unik bagi memperlihatkan penampilan kaki yang lebih menarik.

Seluar jean Ultra Stretch ini bukan saja boleh digayakan hampir semua bentuk potongan badan kecil, kurus, sederhana, tinggi, rendah mahupun bentuk epal atau pir malah selesa untuk apa jua aktiviti.

Ia juga nyata menonjolkan aspek revolusi dan inovasi yang menjadi salah satu tunjang Uniqlo apabila ia direka untuk memberikan kesan regangan maksimum tanpa kekangan pergerakan pada si pemakai.

Penggunaan material seperti denim berkualiti tinggi, kapas, poliester dan spandeks bagi himpunan Ultra Stretch ini pula bertindak memberikan rasa keselesaan optimum berbanding jegging serta seluar jean biasa.

Koleksi Smart Shape diperkenalkan pada musim ini yang menyasarkan penampilan lebih feminin untuk semua bentuk tubuh.

Bahagian pinggangnya disertakan dengan material khas yang membantu membentuk pinggang lebih kecil dan ramping.

Material denim seterusnya digabung bersama rayon Lyocell lalu memberikan kesan lembut dan regangan sederhana pada kaki.

Proses khusus dilakukan pada fasa akhir bagi membentuk tekstur pada jean terbabit, sekali gus mengekalkan warna­nya.

Andai keselesaan maksimum yang diutamakan, himpunan jean Denim Yoga pasti jadi pilihan. Sama seperti namanya, ia sesuai untuk aktiviti riadah seperti yoga tanpa berkompromi dengan gaya.

Bahagian dalaman­nya dikembangkan sedikit agar dapat memberi ruang kepada pergerakan pantas

dan selesa.

Tidak ketinggalan himpunan jean untuk si jejaka dan musim ini Uniqlo memperluaskan penggunaan fabrik jean Kaihara dalam rekaannya.

Celana Miracle Air Skinny Fit dihasilkan daripada kombinasi Kaihara dan Toray. Dua material ini dikenali dengan tahap kelembutan dan kualitinya, selain 20 peratus lebih ringan berbanding denim tradisional.

Koleksi Selvedge pula dibuat daripada denim selvedge iaitu denim berkualiti tinggi yang ditenun menggunakan mesin khas.

Pada masa sama, Uniqlo turut menawarkan variasi gaya denim antaranya Denim Slouch, Heattech Slim Fit dan Loose Fit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:02 AM