RUANG tamu kedua dalam rona berbeza.
RUANG tamu kedua dalam rona berbeza.
PENGGUNAAN bahan terbuang dalam membina dekorasi.
PENGGUNAAN bahan terbuang dalam membina dekorasi.
BANYAK tanaman dalam pasu bagi memudahkan penjagaannya.
BANYAK tanaman dalam pasu bagi memudahkan penjagaannya.
Oleh Mohd Amin Jalil

Saiz dan ruang rumah yang terhad tidak menghalang seseorang itu membina dekorasi idaman sepertimana orang lain kerana hasilnya banyak bergantung kepada kebijaksanaan serta kreativiti pemilik itu sendiri.

Inilah yang cuba ditampilkan Habsah Manap, 51, dari Taman Ampangan Seremban Negeri Sembilan, biarpun kediamannya berstatus teres setingkat, tapi dia mampu menzahirkan dekorasi menakjubkan.

Penataan sempurna di segenap ruang kediamannya mencuri tumpuan kerana terserlah suasana segar dan eksklusif, menerusi konsep ala Inggeris serta kontemporari.

Hakikatnya ia adalah kediaman biasa seperti rumah teres yang lain, tetapi menerusi perancangan teliti dan sedikit pengubahsuaian, dekorasinya tampil dengan sempurna.

"Saya dan keluarga mendiami rumah ini pada 2004 biarpun semua orang inginkan rumah yang besar.

"Saya inginkan suasana damai dan sedap mata memandang, menerusi sedikit ubah suai biarpun terpaksa berbelanja sehingga RM45,000," katanya.

Memperincikan keunikan dekorasi yang diberi nama Garden Don & Cah itu, gaya penataan ala Inggeris menjadi pilihan pasangan terbabit dengan kombinasi menarik antara perabot dan aksesori hiasan di setiap ruang.

Sebaik kaki melangkah, mata terpukau dengan reka letak menarik apabila dua ruang tamu diwujudkan bagi memberikan keselesaan sepanjang masa.

Kedua-dua ruang tamu itu termasuk meja makan dilengkapi kemasan set perabot putih sedondon dengan susunan kerusi tetamu yang menarik lagi ringkas.

Tambahan dua set kerusi berwarna merah di ruang tamu pertama cukup indah kerana dapat mencipta suasana damai dan keunikan tersendiri, sesuai pula dengan idea tata hias yang benar-benar memukau pandangan.

Suasana yang ditampilkan di kedua-dua ruang tamu itu jelas memperlihatkan kesinambungan ruang yang mempunyai fungsi sama.

Kemasan langsir fabrik corak putih bunga-bungaan dan kertas dinding sama dengan warna langsir dilihat begitu terserlah keindahannya.

Aksesori hiasan seperti jambangan bunga ala Inggeris di setiap penjuru menambahkan lagi kesegaran dan keindahan semula jadi kediaman mereka.

Tidak ketinggalan ruang makan tetap mempunyai tarikan dengan pilihan dan kedudukan sesuai perabot dan aksesori hiasannya.

Ditambah dengan latar dinding dan bunga hiasan ala semula jadi membuatkan lahirnya visual pandangan berbeza, yang begitu menyegarkan.

Rona putih ala Inggeris selari dengan aspek penataan cahaya terang dan harmoni di ruang yangf bersambung antara satu sama lain itu menonjolkan idea tata hias seimbang selari fungsinya.

Habsah yang juga ibu kepada dua orang anak berusia 17 dan 31 tahun serta berkhidmat sebagai pengurus di sebuah pasar raya di bandar Seremban, dilihat begitu mementingkan kekemasan.

Latar suasana di bilik tidur utama diceriakan dengan kehadiran kerusi selesa dan beberapa aksesori hiasan yang unik.

"Ini yang dikatakan dekorasi sebagai terapi dan sebab itu saya mahu semua ruang dalam rumah ini dimanfaatkan sepanjang waktu untuk berehat," katanya yang mendapat sokongan padu daripada suami, Saadon Baba, 53, yang bertugas di Senawang.

Habsah turut memastikan di segenap luar rumah dihiasi dekorasi menarik dan sejuk mata memandang.

Pepohon pokok bunga kertas yang ditanam dalam pasu membangkitkan keindahan penataan di segenap penjuru kediamannya yang tampak mewah dan eksklusif.

"Saya inginkan kelainan dalam membina laman kediaman kerana ia memang menjadi minat sejak kecil dan berharap boleh dijadikan contoh kepada orang lain.

"Saya juga memanfaatkan barangan terbuang bagi memastikan dekorasi lebih menarik," katanya.

Sementara itu, Saadon mengakui dia sendiri teruja dengan kreativiti isterinya itu dalam membina dekorasi kediaman mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:16 AM