SESI latihan eater ini.
SESI latihan eater ini.
POSTER teater BANGSA: Anak Kecil Main Api.
POSTER teater BANGSA: Anak Kecil Main Api.

Kejayaan pementasan Skrip Untuk Ali pada 7 hingga 10 Mei lalu membakar semangat Anomalist Production untuk terus berkarya. Terbaru, produksi ini kembali dengan pementasan berskala lebih besar berjudul Teater BANGSA: Anak Kecil Main Api.

Diarahkan Pengarah Urusan Anomalist Production Khairi Anwar, 33, pementasan ini berteraskan semangat nasionalisme dan membawa penonton menyusuri tiga zaman berbeza melalui dua watak utama iaitu Manan dan Rizal.

“lham menghasilkan BANGSA tercetus dan diinspirasikan oleh ibu saya, bekas wartawan politik. Saya pula mengagumi Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) dan cuba menggarap cerita perjuangan orang Melayu tanpa mengaitkannya dengan isu politik.

“Tun M pernah berkata, beliau mampu mengubah banyak perkara, tetapi satu perkara yang tidak boleh diubah adalah mentaliti orang Melayu. Saya percaya, melalui seni persembahan dan teater, mentaliti orang Melayu boleh dicorak dan tidak mustahil diubah ke arah yang lebih positif dan proaktif,” katanya.

Teater BANGSA: Anak Kecil Main Api mengisahkan peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969, apabila ibu bapa Manan iaitu Malik dan Sarah keluar menonton wayang di Panggung Odeon bersama sahabat karib mereka, Abdullah dan Aminah.

Rusuhan kaum yang berlaku di Panggung Odeon meragut nyawa Malik dan Abdullah. Leher mereka dikelar sekumpulan samseng Cina.

Aminah dan Sarah berjaya diselamatkan sepasang suami isteri Cina dan dihantar pulang ke Sungai Buloh, Selangor.

Manan yang ketika itu berusia sembilan tahun menjadi saksi tangisan Sarah dan Aminah.

Masa berlalu, Manan membesar bersama anak Sarah iaitu Nadia dan Rizal. Dia berkahwin dengan Nadia dan berkawan baik dengan Rizal.

Manan berpegang pada sejarah dan baginya sejarah tidak boleh dilupakan. Justeru itu dia berusaha memastikan orang Melayu hanya menyokong bangsa Melayu.

Orang Melayu yang bersekutu dengan kaum lain dianggap pengkhianat bangsa.

Rizal yang lebih terbuka pemikirannya, mementingkan keserasian dan keselesaan antara kaum, melihat fakta sebelum menghukum, menerima baik sifat manusia dan membuang mana yang buruk. Dia memperjuangkan bangsa Melayu dengan belajar melalui sejarah, bukannya berpaut pada peristiwa lampau.

Pemilihan barisan pelakon dibuat menerusi sesi uji bakat yang diadakan pada 12 dan 13 Jun lalu.

Pelakon BANGSA terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang termasuk murid sekolah rendah, pusat pengajian tinggi (IPT) sehinggalah golongan profesional.

Teater ini menampil­kan Zulhusni Zamir dan Shafiq Kauzi sebagai teraju utama.

Teater BANGSA: Anak Kecil Main Api akan dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada 18 September, jam 8.30 malam, 19 September (3.30 petang dan 8.30 malam) serta 20 September 2015 (3.30 petang dan 8.30 malam).

Tiket untuk menonton berharga RM35 dan untuk pelajar RM28.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 11:47 AM