Oleh Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Sehubungan itu Najib mengarahkan polis bertindak segera menyiasat kes tersebut.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan dahsyat Morais.

"Takziah kepada keluarga mendiang. @PDRMsia mesti bertindak segera memyiasat kes ini," tegas beliau dalam Twitter peribadinya, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan mayat yang ditemui disimen dalam tong dram di Jalan Subang 3 pada 6 pagi adalah mendiang Anthony selepas 14 hari dilaporkan hilang.

Mayat ditemui hasil pengakuan lima daripada tujuh suspek yang didalangi doktor berusia 52 tahun yang menunjukkan kepada polis lokasi mayat dibuang.

Motif pembunuhan adalah dendam berhubung satu kes perbicaraan rasuah anggota tentera dan doktor terbabit di Mahkamah Shah Alam.

Tujuh suspek termasuk wanita dan kanak-kanak ditahan reman 14 hari mulai semalam di Pulau Pinang, Rawang dan sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 1:44 PM