Murni Wan Omar


PAKAR patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran dan lima lagi dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan semua tertuduh mempunyai niat bersama membunuh Kevin, 55, pada 2015.

Beliau berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah atas pertuduhan membunuh dengan niat oleh Kunaseegaran dan lima lagi.

"Pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh sebelum ini juga gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

"Dengan ini, keenam-enam kamu dengan niat bersama didapati bersalah dan dengan ini dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Dengan ini keenam-enam kamu dihukum gantung di leher sehingga mati," katanya.

Selain Kunaseegaran, 57, selaku tertuduh pertama; lima lagi ialah pemberi pinjaman wang, S Ravichandran, 49, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 28; AK Thinesh Kumar, 27, M Vishwanath, 30, dan S Nimalan, 27.

Semua tertuduh didakwa membunuh Kevin ketika bekas Timbalan Pendakwa Raya itu dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, pada 4 September 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

DATUK Anthony Kevin Morais
DATUK Anthony Kevin Morais

Mayat Kevin Morais ditemui dalam dram berisi konkrit, lima tahun lalu.

Kunaseegaran sebelum ini didakwa bersama dengan lima lelaki melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama, namun pada 15 Mei 2017, pertuduhan itu dipinda kepada mempunyai niat yang sama dengan lima lelaki berkenaan dalam pembunuhan Morais.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Wan Shaharuddin Wan Ladin sementara peguam Datuk N Sivananthan mewakili Kunaseegaran dan peguam Datuk Sheelan Arjunan mewakili lima tertuduh lain.

Sivananthan ketika ditemui berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Sementara itu adik mendiang iaitu Datuk Richard Morais turut kelihatan hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 3:14 PM