Murni Wan Omar

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata dakwaan tertuduh ketujuh dalam kes pembunuhan Datuk Anthony Kevin Morais adalah tidak benar dan tidak masuk akal.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya hari ini berhubung dakwaan tertuduh ketujuh itu, S Ravi Chandaran yang mendakwa beliau menawarkan RM3.5 juta kepadanya untuk mengaku melakukan pembunuhan itu.

“Tertuduh, S Ravi Chandaran membuat keterangan palsu apabila mendakwa saya bertanggungjawab memberi tawaran RM3.5 juta itu melalui pegawai penjara yang tidak dinamakan untuk dia mengaku bersalah.

“Saya membaca laporan prosiding mahkamah pada 2 Oktober 2018 dan terkejut dengan tuduhan tidak berasas itu. Melalui pemerhatian, saya juga mendapati Ravi Chandaran mendakwa seorang lagi tertuduh iaitu Kolonel Dr R Kunasegeran ada menawar RM1.5 juta kepadanya,” katanya.

Malah, katanya, tertuduh itu juga mendakwa abang mangsa, Richard Morais ada membuat tawaran bayaran RM2 juta atas tujuan yang sama.

“Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali dan saya menafikan sekerasnya. Ia adalah dakwaan tidak masuk akal dan tidak memberi keadilan kepada mendiang Kevin Morais atau saya.

“Tidak baik untuk Ravi Chandaran untuk membuat keterangan palsu dengan mengambil kesempatan daripada keadaan semasa saya sekarang dan menyebabkan reputasi lebih tercemar. Saya rasa ada orang yang menyuruh dia bertindak begitu,” katanya.

Najib menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat tuduhan itu dan Ravi Chandaran harus diminta untuk mendedahkan nama warden penjara itu.

“Pegawai penjara, jika ia wujud, pasti masih bekerja di penjara. Ravi Chandaran perlu memberi namanya dan kenyataan perlu direkod oleh polis bagi mengesahkan dakwaan tertuduh itu.

“Sekiranya Ravi Chandaran gagal berbuat demikian, saya menggesa pihak berkuasa mendakwanya atas tuduhan membuat keterangan palsu,” katanya.

Beliau difahamkan bahawa pihak pendakwaan atau pihak pembelaan dalam kes itu tidak mempercayai dakwaan Ravi Chandaran itu.

“Tambahan lagi, saya mendapatkan maklumat sahih bahawa mendiang Kevin Morais tidak terbabit dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau SRC International.

“Ini dengan mudah boleh ditentukan melalui penyiasatan yang betul,” katanya.

Selasa lalu, Ravi Chandaran, 47, dalam keterangan membela dirinya mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia ditawarkan RM3.4 juta oleh Najib untuk mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.

Dia mendakwa tawaran itu dibuat melalui pegawai penjara kepadanya pada Februari 2108.

Ravi Chandaran berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Kunaseegaran

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok (5 Oktober).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 9:39 PM