AIZUDDIN dan isterinya Athiqah bersama menu pilihan pelanggan.
AIZUDDIN dan isterinya Athiqah bersama menu pilihan pelanggan.
SUASANA moden kontemporari mampu menimbulkan rasa selesa ketika menjamu selera.
SUASANA moden kontemporari mampu menimbulkan rasa selesa ketika menjamu selera.
SPAGHETTI Aglio Olio hasil gabungan ketulan salmon dan daging siput sudu.
SPAGHETTI Aglio Olio hasil gabungan ketulan salmon dan daging siput sudu.
QUATRRO Formaggi diperbuat daripada empat jenis keju iaitu parmesan, Dutch gouda, krim keju dan swiss cheddar.
QUATRRO Formaggi diperbuat daripada empat jenis keju iaitu parmesan, Dutch gouda, krim keju dan swiss cheddar.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman


Bermula di sebuah medan selera di Pandan Indah pada 1998, Aizuddin Khalid bersama sepupunya menjual makanan barat secara kecil-kecilan.

Selepas 15 tahun beroperasi, beliau melebarkan sayap dengan membuka sebuah restoran di Putra Heights berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan pada 16 September tahun lalu.

Begitupun, makanan ditawarkan tetap pada harga munasabah yang jauh lebih murah berbanding dikenakan restoran yang beroperasi di hotel mewah.

Moon’s Kitchen menawarkan hidangan barat seperti sizzling steak, burger, pasta, filet tempura dan fish & chip yang diinspirasi daripada menu beberapa negara di Eropah seperti Perancis, Eropah dan Itali.

Aizuddin selaku pengarah urusan restoran itu berkata, antara juadah popular sejak awal penubuhan Moon’s Kitchen ialah Black Pepper Steak, Roasted Garlic Pepper Lamb dan Chipotle BBQ Beef Ribs yang semua dagingnya diimport dari Australia.

“Walaupun setiap menu mempunyai kaitan dengan negara asal masing-masing, ia diolah semula sedikit mengikut cita rasa pelanggan tempatan yang lebih gemarkan pedas,” katanya.

Rasa pedas, pekat dan warna hitam sos lada hitam ditampilkan ketua cefnya menambat hati penulis kerana agak sukar merasai sos lada hitam yang benar-benar memenuhi selera.

Katanya, Moon’s Kitchen turut menawarkan hidangan khas yang terhad iaitu udang kara atau lebih dikenali sebagai lobster.

Sementara itu, pengurus restoran itu, Athiqah Teo berkata udang kara yang diimport dari Amerika Syarikat dan Kanada sentiasa menjadi rebutan pelanggan.

“Untuk mengekalkan elemen istimewanya, kami hanya menawarkan lima ekor udang kara setiap hari agar pelanggan ternanti-nanti menu berkenaan.

“Di sini, tiga menu masakan udang kara ditawarkan iaitu Thermidor, Quattro Formaggi dan Garlic Butter.

“Quattro Formaggi hasil gabungan empat jenis keju iaitu parmesan, Dutch gouda, krim keju dan Swiss cheddar manakala Thermidor dimasak bersama keju parmesan dan cendawan sebelum ditabur lebihan keju di atasnya bersama sos.

Athiqah berkata, lobster yang dimasak selama 30 minit turut dihidangkan bersama kentang goreng, salad, lemon panggang dan clarified butter.

Harga yang dikenakan pula bergantung kepada beratnya, iaitu 700 gram hingga 800 gram pada harga antara RM200 hingga RM250 mengikut pasaran semasa.

Mereka yang ingin mencuba boleh mengunjungi restoran ini di 12, Jalan Putra Mahkota 7/6B, Pusat Bandar Putra Point, 47650 Subang Jaya, Selangor dari jam 4 petang hingga 10 malam pada hari bekerja manakala 12 tengah hari hingga 10 malam pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 8:54 AM