PELAJAR SMK Cheras keluar dari perkarangan sekolah selepas tamat waktu persekolahan dengan memakai penutup mulut dan hidung berikutan keadaan cuaca berjerebu. FOTO Aizuddin Saad
PELAJAR SMK Cheras keluar dari perkarangan sekolah selepas tamat waktu persekolahan dengan memakai penutup mulut dan hidung berikutan keadaan cuaca berjerebu. FOTO Aizuddin Saad
Oleh Norul Awatif Romli


Sintok: Pengetua dan guru besar di semua sekolah di seluruh negara diberi kuasa untuk menghentikan persekolahan jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai bacaan sehingga 200.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak sekolah juga bertanggungjawab menentukan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan pelajar jika keputusan itu diambil serta merta.

"Mereka (pengetua dan guru besar) diberi kuasa untuk membuat keputusan sama ada sekolah masing-masing perlu ditutup atau sebaliknya berdasarkan bacaan IPU di kawasan masing-masing.

"Bagaimanapun, mereka juga perlu memaklumkan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri berhubung penutupan itu termasuk Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan ibu bapa pelajar berhubung penutupan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Uniutama Property Sdn Bhd (UPSB) dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Hotel EDC Universiti Utara Malaysia, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mahdzir turut menasihatkan semua pengetua dan guru besar sekolah supaya menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah serta merta selain menyediakan penutup mulut kepada semua kakitangan sekolah serta pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 6:17 PM