PELUANG terbaik Akim & The Majistret lebar pengaruh ke negara seberang.
PELUANG terbaik Akim & The Majistret lebar pengaruh ke negara seberang.
Oleh Michelle Gun


Selepas menghasilkan album sulung Patriot pada Ogos lalu, Akim & The Majistret sudah mempunyai perancangan mengembangkan muzik mereka ke Indonesia dan Singapura.

Lebih istimewa, kumpulan dianggotai Akim (penyanyi),Wan (dram), Beby (gitar), Gjie (gitar), Zimi (gitar), Faoq (bass) dan Afiez Azam (keyboard) ini bukan saja berjaya mencuri perhatian peminat di Indonesia, tetapi juga sebuah band terkenal dari negara itu.

Memilih merahsiakan nama kumpulan itu, Akim berkata, tawaran menghasilkan lagu duet dengan artis berkenaan sememangnya mengejutkan.

“Perbincangan masih di peringkat awal, namun apa yang saya berkongsi adalah kami menerima panggilan daripada anggota band itu yang menyatakan hasrat ingin berkolaborasi menghasilkan lagu,” katanya.

Menurut Akim, dia dan anggota The Majistret akan berangkat ke Indonesia pada masa terdekat untuk bertemu dengan band terbabit.

“Kami sukar mempercayai tawaran itu, namun bersyukur kerana ini cara terbaik untuk memperkenalkan Akim & The Majistret dalam industri muzik di sana.

“Apatah lagi kami baru setahun bertapak dalam bidang muzik dan peluang seperti ini tidak seharusnya dilepaskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Akim & The Majistret bakal mengadakan persembahan di konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Mawlaya Networks Sdn Bhd di Stadium Malawati, Shah Alam pada 31 Oktober ini.

Konsert berkenaan turut menampilkan penyanyi popular dalam dan luar negara seperti Anuar Zain, Raihan, Opick, Ebiet G Ade, Bikha dan Humood Al Khuder.

Akim berkata, persembahan untuk konsert itu mencabar kerana mereka perlu menghasilkan susunan muzik lebih santai bagi menepati konsep konsert berkenaan.

“Biarpun mengetengahkan muzik rock, namun lirik lagu berunsur kerohanian. Kami sudah menghantar senarai lagu kepada penganjur untuk diteliti, namun pastinya lagu Mewangi dan Potret akan dinyanyikan nanti,” katanya.

Teruja berkongsi pentas bersama beberapa artis hebat, Akim berkata, kumpulan itu juga akan menghiburkan penonton dengan lagu Pelangi Senja dendangan asal Stacy.

“Lagu itu santai dan liriknya juga berunsur ketuhanan dan kami juga akan menyampaikan lagu daripada penyanyi lain,” katanya.

Menerusi konsert itu, IRM menyasarkan untuk mengutip dana sebanyak RM5 juta yang akan disalurkan untuk projek Gift of Hope, Desa Lestari dan juga beberapa negara yang memerlukan.

Maklumat lanjut mengenai tiket sila layari laman web www.ticketpro.com.my atau hubungi 03-89126334 dan 010-2036343.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:01 AM