Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kemelut menyelubungi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka bertambah buruk susulan campur tangan kerajaan yang mengancam menggantung badan induk itu.

Ia sama sekali jelas melanggari peraturan FIFA yang melarang sebarang pembabitan kerajaan terutama kepada organisasi bola sepak yang berdaftar di bawah mereka.

Sudahlah mutu bola sepak kebangsaan semakin buruk malah jangan terkejut jika selepas ini sukan nombor satu negara itu akan terkubur seperti mana berlaku di Indonesia apabila digantung FIFA daripada sebarang aktiviti.

Kebimbangan itu disuarakan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang beranggapan tindakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu agak keterlaluan biarpun menyedari bekas bosnya itu sebenarnya ingin membantu mengejutkan FAM dari lena.

“Saya kenal benar bos lama (Khairy) saya itu yang dulu pernah menjadi pengurus pasukan kebangsaan di samping Timbalan Presiden FAM dengan saya pula jurulatih negara ketika itu (2008).

“Saya tahu beliau sayangkan sangat bola sepak terutama pasukan kebangsaan kita, tapi dengan kenyataan beliau secara terbuka (menggantung FAM) saya bimbang akan diambil tindakan oleh FIFA lantaran statusnya di dalam kerajaan.

“Beliau boleh memberi pandangan atau teguran namun sehingga mahu mengambil tindakan menggantung, itu agak bahaya dan saya bimbang kemungkinan nasib lebih malang selepas ini.

“Lihat saja Indonesia, bola sepak di sana sudah berkubur dan mereka terpaksa membina semula daripada kosong untuk bangunkan sukan itu yang saya kira memakan masa.

“Hentikan niat itu segera sebelum terlambat, sebaliknya ajak FAM duduk berbincang dan wujudkan satu ‘blue print’ baru khusus bagi meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menerusi kenyataan Khairy semalam, beliau membayangkan berkemungkinan besar FAM bakal berdepan penggantungan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) jika gagal memberikan penjelasan susulan insiden kekecohan penyokong pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 membabitkan Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.

Sementara itu, mengulas insiden memalukan yang dicetuskan Ultras Malaya, beliau melahirkan rasa kecewa dan berharap ia dapat diselesaikan segera demi kebaikan bola sepak tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 8:30 AM