Eina anggap dakwaan dia ditangkap khalwat melucukan. FOTO NSTP
Eina anggap dakwaan dia ditangkap khalwat melucukan. FOTO NSTP
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: Pelakon, Datin Paduka Eina Azman, 20, menafikan dakwaan dia ditangkap khalwat seperti yang tersebar di laman sosial, baru-baru ini.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman berkata, fitnah itu dianggap perkara melucukan kerana ia adalah dakwaan palsu dan tidak logik langsung.

"Saya tahu apa yang saya buat dan orang itu bukan saya. Kalau diperhatikan betul-betul gambar itu, boleh nampak dengan jelas perbezaan warna kulit dan rambut antara saya dengan wanita itu.

"Bagi saya, ia benda yang kelakar dan tidak logik. Rasanya sesiapa saja yang melihat gambar itu boleh bezakan sama ada wanita dalam gambar itu adalah saya atau orang lain," katanya kepada Harian Metro.

Penyebaran gambar seorang wanita didakwa mirip Eina di laman sosial terutama Facebook menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat, baru-baru ini.

Dakwaan turut mengatakan kononnya wanita terbabit melakukan perbuatan itu ketika suaminya ke luar negara.

Walaupun gambar wanita itu memaparkan dengan jelas bukan merujuk kepada Eina, ia tetap mencetuskan kontroversi.

Menurut Eina, dia mengetahui mengenai penyebaran gambar itu sejak hujung bulan lalu namun enggan ambil peduli dan perkara itu turut diketahui suaminya Datuk Paduka Gurmet Singh, 35.

“Suami saya hanya ketawa apabila saya mengadu mengenai gambar itu sebab sudah terang-terang ia bukan saya. Saya sendiri pun hampir 24 jam dengannya jadi nampak sangat ia tuduhan palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 9:09 PM