FEDERER intai juara tertua Terbuka AS.
FEDERER intai juara tertua Terbuka AS.
AFP

New York: Pertemuan jaguh-jaguh tenis dunia yang dijadualkan berlangsung hari ini bakal mencatat sejarah Terbuka AS tetapi sebelum itu, aksi hari ini di Stadium Arthur Ashe dianggap tidak kurang hebatnya dengan Serena Williams, Novak Djokovic serta Roger Federer memainkan watak penting.

Hujan lebat mengganggu jadual separuh akhir wanita dan Persatuan Tenis AS memindahkan perlawanan itu sebelum aksi separuh akhir lelaki sekali gus bakal menjadi drama terbesar dalam arena tenis kerana Serena mahu mengejar sejarah, Federer memburu gelaran Slam pertama sejak 2012 dan Djokovic mengidam mahkota Slam ketiga tahun ini.

Pertemuan mendebarkan itu bakal berlangsung dalam tahun pertama selepas penganjur menghapuskan jadual yang mengumpulkan perlawanan separuh akhir lelaki dan wanita pada hari sama sempena format Grand Slam dan ia bertujuan memberi rehat sehari buat semua pemain sebelum mengharungi perlawanan tetapi cuaca pula tidak mengizinkan.

Tahun ini adalah kali terakhir Terbuka AS dilangsungkan di gelanggang terbuka dan takdir menentukan empat perlawanan separuh akhir dua kategori itu akan berlangsung dalam hari sama.

Pilihan utama yang juga juara bertahan, Serena akan menentang pilihan ke-26, Roberta Vinci manakala satu lagi separuh akhir menemukan pilihan kedua, Simona Halep dengan Flavia Pennetta.

Serena yang sudah memenangi empat gelaran utama musim ini, mahu melengkapkan kalendar Grand Slam dengan menjulang Terbuka AS selepas Steffi Graf melakukannya pada 1988 dan dia juga mahu menyamai catatan rekod Era Terbuka yang dilakar Steffi apabila menang 22 gelaran slam perseorangan.

Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic yang juga juara bertahan Wimbledon dan Terbuka Australia, akan bertemu juara bertahan Terbuka AS, Marin Cilic di separuh akhir lelaki.

Pertemuan selepas itu membabitkan pilihan kelima, Stan Wawrinka yang akan bertemu juara Grand Slam 17 kali, Roger Federer yang pada usia 34 tahun, mahu muncul juara tertua Terbuka AS sejak Ken Rosewall melakukannya pada 1970.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:11 AM